Skip to main content

Sukan

PSAS: Sarjit tegur anak buah selepas realiti pahit berdepan Belgium

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

hoki

Skuad hoki negara melalui detik sukar dan diberikan realiti sebenar dunia hoki elit apabila tewas 1-9 kepada pasukan di ranking ketiga dunia, Belgium, sekali gus melakar rekod kekalahan terburuk Sarjit Singh sepanjang mengendalikan The Speedy Tigers tahun ini.

Pertembungan dua pasukan yang memiliki status berbeza berakhir memihak Belgium yang menerapkan elemen permainan hoki moden hingga kem negara gagal mencari jalan keluar untuk mengekang asakan bertali arus mereka.

Advertisement

The Speedy Tigers menerima pengajaran berguna, namun dengan cara yang paling kejam dalam edisi ke-31 di Stadium Perak, Ipoh itu, malam tadi.

Belgium yang kembali menghangatkan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) selepas kali terakhir pada 2008 -- menamatkan saingan di tempat ke-6 ketika itu -- beraksi di kelas tersendiri.

17 tahun berlalu, Belgium kembali ke Malaysia selaku kuasa besar berbekalkan status sebagai juara dunia 2018 serta pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo.

"Apabila kehilangan bola, setiap harus mengadap pintu gol lawan, bukannya menghambat pemain lawan dari belakang.

"Reaksi dan kepekaan sangat penting, pemain perlu (berfikiran) tajam.

"Belgium terlalu bagus pada hari ini walaupun pemain cuba mengikut arahan saya.

"Kami tidak mengawal bola dan asyik kehilangan bola.

"Kami akan bertambah baik dan pemain harus bangkit dengan kekalahan 1-9," kata Sarjit.

Lebih parah, Belgium yang mempertaruhkan Pemain Terbaik Dunia, Tom Boon, dalam senarai 18 pemain utama -- selepas hadir ke Malaysia sebagai pemain simpanan -- yang mengetuai pesta gol Belgium menerusi dua jaringan.

Menurut ketua jurulatih Belgium, Shane McLeod: "Kami gembira dengan mutu persembahan pemain.

"Kami mahu beraksi dengan baik dan ada pemain yang mendapat kesempatan antarabangsa pertama hari ini.

 

 

 

 

"Mereka bekerja keras dan memastikan permainan menjadi mudah.

"Hari ini kami bermain dengan sangat baik dan perlu dijadikan azimat untuk bertemu New Zealand."

Must Watch Video