Juara lima kali kejohanan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS), India, tidak kesampaian untuk meneruskan rekod kemenangan selepas mencatatkan kekalahan tipis 2-3 di tangan Belgium menerusi aksi kedua yang ditunda sebentar tadi ekoran faktor cuaca di Ipoh.
Belgium yang turun selaku pasukan di ranking terbaik dalam enam pasukan dalam PSAS berjaya membuka akaun jaringan ketika aksi melewati suku kedua menerusi gol padang yang disempurnakan Roman Duvekot sebelum India kembali mengikat kedudukan kepada 1-1 hasil ledakan gol padang Abhishek Nain pada awal permainan suku ketiga.
Advertisement
Dan berbaki 50 saat menuju ke suku terakhir, Belgium bijak menggunakan pukulan sudut penalti untuk diterjemahkan ke dalam bentuk jaringan yang berjaya disudahkan pemain senior mereka, Nicolas De Kerpel.
Red Lions terus bernafsu untuk memburu mata penuh pertama di Ipoh apabila berjaya melebarkan kelebihan kepada 3-1 menerusi jaringan gol padang sekali lagi pantas disempurnakan oleh Duvekot.
Namun, kedudukan itu berubah kepada 3-2 apabila Shilanad Lakra berada tepat di hadapan gawang Belgium untuk menyempurnakan peluang terhidang tapi ianya sudah terlambat untuk menafikan kemenangan 3-2 Belgium dalam aksi kedua PSAS.
Keputusan ini melonjakkan kedudukan Belgium ke kelompok tiga terbaik setakat ini bersama-sama dengan New Zealand dan Malaysia.