Program President’s Cup 2025 telah dianjurkan oleh Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) sebagai satu platform pembangunan dan pengenalan sukan lawn bowls kepada masyarakat, khususnya dalam usaha menarik minat serta meningkatkan penyertaan peminat baharu dalam sukan ini, terutamanya dikalangan badan-badan korporat yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan sukan lawn bowls di Malaysia.
Program ini turut bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai asas permainan lawn bowls, termasuk pemahaman terhadap peraturan serta teknik melontar bowls yang betul dan berkesan.
Advertisement
Selain itu, penganjuran President’s Cup 2025 berperanan sebagai medium untuk merakyatkan sukan lawn bowls dengan membuka ruang penyertaan yang lebih luas kepada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang dan tahap pengalaman.
Program ini memberi peluang kepada peserta untuk mengenali, mempelajari dan menghayati sukan lawn bowls melalui pengalaman pertandingan sebenar dalam suasana yang inklusif dan mesra komuniti.
Di samping itu, penganjuran ini turut menjadi platform untuk memperkukuh jalinan silaturrahim, memupuk semangat kesukanan serta menggalakkan kerjasama yang erat dalam kalangan peserta, pegawai teknikal dan pihak penganjur, selaras dengan aspirasi pembangunan sukan secara menyeluruh dan berterusan.