Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Xisco Munoz, tidak menyangkakan keputusan meletakkan Teto Martin di posisi serangan membuahkan hasil luar biasa apabila pemain itu meledak hatrik berganda.
Perkara itu selepas Teto meledak enam jaringan ketika menewaskan PDRM 10-1 dalam perlawanan pertama, pusingan 16, Piala Malaysia 2026 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Advertisement
Munoz menjelaskan ia merupakan satu pencapaian yang membuktikan kerja keras pemain tengah kelahiran Sepanyol berusia 24 tahun itu bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama membuahkan hasil.
"Saya gembira dengan dia (Teto) kerana saya tahu usaha dia, dia kerja keras untuk pasukan. Sekarang dia kian positif dan keyakinan bertambah untuk beraksi lebih baik buat pasukan." jelasnya.
Perlawanan di Iskandar Puteri itu turut menyaksikan dua jaringan awal dalam babak pertama yang dijelmakan Johor Darul Ta'zim (JDT) membunuh semangat pemain PDRM.
Perkara itu dijelaskan ketua jurulatih PDRM, Eddy Gapil, yang turut bersetuju jurang perbezaan kualiti skuad Sang Saka Biru dan skuad Harimau Selatan terlalu ketara ketika pasukanya terpaksa akur tewas 1-10 dalam aksi pusingan 16 pertama Piala Malaysia.
Namun, sudah semestinya tugas lebih getir yang memerlukan elemen keajaiban dalam menghadapi perlawanan timbal balik hujung minggu ini.
"Kami perlu bersedia untuk aksi kedua nanti dan semestinya perlu melihat kembali pasukan serta merancang yang terbaik dalam aksi timbal balik nanti," katanya.