Astro yang bakal menyambut ulang tahun ke-30, sentiasa berada di belakang legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei.
Ketika beliau memulakan karier pada lewat 1990-an, ranking pertama dunia, 3 pingat Sukan Olimpik hingga bersara pada 2019 - Astro menjadi sebahagian daripada perjalanan terbabit.
Sempena penganjuran Piala Lee Chong Wei pada 29 Ogos - 6 September depan, Astro menganggap ia satu lagi usaha penting dalam menyokong pembangunan bakat muda dan masa depan badminton Malaysia.

Ketua Sukan Astro, Nicholas John, berkata sokongan terhadap kejohanan peringkat umur itu selari dengan komitmen Astro sebagai Home of Sports.
"Chong Wei mempunyai tempat istimewa dalam hati rakyat Malaysia dan perjalanan karier beliau jadi inspirasi kepada generasi peminat serta atlet muda seluruh dunia.
“Piala Lee Chong Wei mencerminkan segala yang Astro percaya dalam konteks sukan Malaysia. Sebagai Home of Sports, komitmen kami melangkaui penyiaran.
“Kami secara aktif menyokong pembangunan bakat muda menerusi inisiatif seperti Astro Kem Badminton, Klinik Sepak Takraw League dan Klinik Netball Super League, dengan menyediakan bimbingan, tunjuk ajar serta peluang pembangunan kemahiran kepada komuniti di seluruh negara,” katanya.
Nicholas berkata, Lee Chong Wei Cup memberi Astro peluang untuk menyokong pemain muda sambil membolehkan peminat mengikuti perjalanan mereka sejak di peringkat awal.
“Lebih penting lagi, kerjasama ini adalah mengenai pelaburan dalam masa depan badminton Malaysia dan mengukuhkan hubungan antara atlet dengan peminat.

“Semangat dan sokongan peminat Malaysia telah menjadikan badminton antara sukan paling disayangi di negara ini,” katanya.
Astro akan membawa liputan kejohanan itu menerusi produksi langsung berkualiti tinggi, ulasan pakar dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia serta penceritaan yang menarik di seluruh platformnya.
Liputan akan bermula dengan laporan komprehensif Nadi Arena, Nadi Weekend dan laman web Stadium Astro sebelum siaran langsung untuk 3 hari terakhir - sekitar 8 jam sehari.
Piala Lee Chong Wei kejohanan badminton utama untuk remaja berusia 11-17 tahun yang diiktiraf Persatuan Badminton Malaysia. Sebanyak 13 kategori dipertandingkan dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM100,000.
Butiran lanjut di https://www.leechongweicup.com/