Pelumba XDS Astana, Matteo Malucelli, menamatkan saingan peringkat kelapan Le Tour de Langkawi 2026 selaku juara laluan landai sejauh sejauh 188.3 kilometer (km) dari Muar ke Putrajaya dengan catatan masa 4:05.17s sebentar tadi.
Henjutan saat akhir Malucelli memastikan dia mengungguli peringkat terakhir itu diikuti pelumba dari Kanada, Riley Pickrell dan Christiaan Van Rees dari Belanda melengkapkan kedudukan podium buat kali ketiga selepas menawan peringkat pertama dan ketiga sebelum ini.
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Malucelli dinobatkan selaku raja pecut dengan mengumpul 64 mata secara keseluruhan dan merupakan gelaran kedua selepas edisi 2024.
Lennart Jasch dari Tudor Pro Cycling Team pula diangkat selaku Raja Bukit -Lennart bergelar juara Peringkat 2 untuk menjadi pelumba pertama menakluki Gunung Jerai- dalam edisi kali ini selepas mengumpul 45 mata dalam klasifikasi jersi polka dot, serta muncul juara keseluruhan (jersi jingga) saingan LTdL edisi ke-30 itu.
Naib juara keseluruhan menjadi milik pelumba Caja Rural-Seguros (RGA), Abel Balderstone, diikuti rakan sepasukannya di tempat ketiga keseluruhan, Jan Castellon.
Turun mencuri tumpuan adalah pelumba negara, Izzat Hilmi Abdul Jalil, yang menamatkan saingan di kedudukan kesembilan mewakili pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC).