Kegagalan Indonesia mara ke separuh akhir Piala Hyundai ASEAN 2026 mencetuskan kemarahan penyokong dengan ketua jurulatih John Herdman kini berdepan tekanan hebat sehingga tanda pagar #JohnHerdmanOut mula memenuhi media sosial.
Keputusan seri 1-1 menentang Singapura di Stadium Jalan Besar, Jumaat malam, menyaksikan Indonesia menamatkan saingan Kumpulan A di tempat ketiga dengan tujuh mata daripada empat perlawanan.
Vietnam muncul juara kumpulan dengan 10 mata, manakala Singapura mengumpul lapan mata untuk mengiringi mereka ke separuh akhir.
Lebih mengecewakan, Indonesia sebenarnya memulakan kempen dengan penuh bergaya menerusi kemenangan 5-1 ke atas Kemboja dan 3-0 menentang Timor-Leste.
Namun kekalahan 0-3 kepada Vietnam mengubah kedudukan mereka sebelum keputusan seri dengan Singapura akhirnya menutup peluang Indonesia untuk meneruskan perjuangan.
Sejurus wisel penamat dibunyikan, penyokong Indonesia mula melepaskan kemarahan terhadap Herdman di media sosial.
Antara kritikan utama adalah berkaitan taktikal, pemilihan pemain serta pertukaran pemain yang dianggap gagal memberikan perubahan ketika Indonesia buntu mencari gol kemenangan.
"Itu sahaja yang anda mampu, John? Tiada Pelan B, taktik yang lemah, serangan yang tidak sehaluan, dan barisan pertahanan huru-hara," tulis seorang penyokong.
Ada juga yang secara terbuka menyamakan situasi Herdman dengan nasib bekas jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong.
Shin dipecat selepas Indonesia tersingkir di peringkat kumpulan Piala ASEAN 2024, ketika skuad negara itu tampil dengan barisan yang majoritinya terdiri daripada pemain bawah 23 tahun.
Kini, sebahagian penyokong mahu Herdman menerima hukuman sama selepas gagal membawa skuad yang dianggap antara paling kuat di Asia Tenggara melepasi peringkat kumpulan.
Tekanan terhadap Herdman menjadi lebih besar kerana Indonesia memasuki kejohanan kali ini dengan harapan tinggi.
Kehadiran sejumlah pemain naturalisasi menjadikan skuad Garuda antara pasukan pilihan untuk mencabar kejuaraan, namun prestasi mereka mula merosot selepas kekalahan kepada Vietnam.
Dalam perlawanan penentuan menentang Singapura, Indonesia mendominasi sebahagian besar permainan dan membuka jaringan menerusi Ragnar Oratmangoen pada awal babak kedua.
Bagaimanapun, peluang Indonesia untuk mengawal permainan bertukar rumit selepas kad merah pemain Singapura, Song Ui-young, dibatalkan susulan semakan VAR.
Singapura kemudian menghukum kesilapan pertahanan Indonesia apabila Ilhan Fandi menyamakan kedudukan pada minit ke-66.
Indonesia cuba memburu gol kemenangan pada baki perlawanan, namun gagal menghasilkan jaringan kedua.
Kegagalan itu akhirnya mencetuskan gelombang kritikan terhadap Herdman, malah ada penyokong yang turut mengaitkan masa depan Presiden PSSI, Erick Thohir.
'#JohnHerdmanOut #ErickThohirOut' antara mesej yang turut mendapat perhatian di media sosial.
Herdman, yang mengambil alih kendalian Indonesia pada awal 2026, kini berdepan ujian terbesar dalam kariernya bersama skuad Garuda.
Persoalan utama selepas ini bukan lagi mengenai kemampuan Indonesia menjuarai Piala ASEAN, tetapi adakah Herdman masih mendapat kepercayaan untuk meneruskan projeknya bersama Indonesia?
Kegagalan kali ini jelas menjadi tamparan hebat buat sebuah pasukan yang sebelum kejohanan dilihat sebagai antara pencabar utama kejuaraan.