Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, menyeru agar seluruh penyokong Harimau Malaya memenuhi Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Hyundai ASEAN 2026 menentang Vietnam hujung minggu ini.
Kebanjiran penyokong pastinya mampu menyuntik semangat skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu, yang membawa misi memburu bekalan selesa sebelum bertandang ke tempat lawan bagi aksi timbal balik pada 19 Ogos depan.
Noor Azman percaya, dengan kerjasama erat semua pihak, tidak mustahil Malaysia mampu mencipta kejutan untuk mara ke final.
Noor Azman turut berharap kenaikan harga tiket aksi separuh akhir pertama tidak menjejaskan jumlah kehadiran penonton di Cheras.
"Ia pencapaian yang agak membanggakan apabila kita dapat ke peringkat separuh akhir," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Bagi pihak FAM, kami amat berpuas hati dan saya mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang setia menyokong Harimau Malaya.
"Saya juga menyeru penyokong hadir beramai-ramai untuk kita memberikan sokongan padu kepada pasukan Harimau Malaya pada Ahad ini.
"Isu harga tiket itu minta kita semua bersabar. Yang penting kita datang beramai-ramai."