Sabah melakukan kebangkitan luar biasa untuk mengikat Selangor 3-3 sebelum menyingkirkan lawan itu dalam penentuan sepakan penalti aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium MBPJ sebentar tadi.
Selepas terikat 2-2 dalam aksi pertama di Likas awal bulan ini, Faisal Halim meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-32 untuk kedudukan itu kekal sehingga ke bilik persalinan.
Advertisement
Bagaimanapun, aksi sebenar dapat disaksikan dalam babak kedua, di mana Sabah hanya memerlukan seminit selepas perlawanan bersambung untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan Dane Ingham.
Selangor kembali di depan hasil jaringan Chrigor Moraes pada minit ke-51, hanya untuk sekali lagi dikejar Sabah menerusi gol Ajdin Mujagic pada minit ke-61.
Faisal Halim sekali lagi membuktikan ketajamannya di depan gawang pada minit ke-72 untuk Selangor sekali lagi berada di depan.
Bagaimanapun, semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati pertahanan Selangor, Raimi Shamsul, menjatuhkan Farhan Roslan dalam kawasan penalti dan kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya Mujagic untuk sekali lagi menyamakan kedudukan.
Malang berganda menimpa Selangor apabila Mamadou Diarra dialayangkan kad merah selepas semakan VAR mendapati pemain itu menyiku Fakrul Iman Naszari.
Dengan kedudukan terikat 5-5 secara agregat, perlawanan itu terpaksa diheret ke masa tambahan tetapi masih belum ada pemenang dapat ditentukan.
Penjaga gol Sabah, Damien Lim, muncul wira Sabah dalam penentuan penalti, di mana dia menyelamatkan tendangan Harith Haiqal Adam Afkar dan Mohammad Abualnadi untuk Sang Badak ke final dengan kemenangan 5-4.
Sabah akan berdepan JDT bagi penentuan gelaran pada 14 Disember ini.
