'Arif 'The Special One'', jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Xisco Munoz, menganggap Arif Aiman Md Hanapi sebagai satu dalam seribu di sebalik kejayaan menundukkan Kuching City 2-0 dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA.
Keputusan itu memastikan kemaraan JDT ke pentas final dengan agregat 4-1 dan Munoz mengakui merindui kelibat Arif yang kini menjalani proses pemulihan kecederaan di luar negara.
Advertisement
Arif mengalami kecederaan ketika mewakili Harimau Malaya bertemu Nepal bulan lalu dan kini memberikan tamparan hebat buat JDT yang tanpa khidmat sayap kanan yang cukup berbisa itu.
Selepas tamat perlawanan dengan kemenangan 2-0 yang diraih, Munoz tidak berselindung dalam menyatakan kepentingan kehadiran Arif dalam skuad kendaliannya.
“Ya. Kami merinduinya 100 peratus. Dia adalah pemain terbaik di Asia ketika ini. Apabila anda kehilangan pemain yang terbaik, normal untuk pasukan kehilangan ‘sesuatu.’
“Dia istimewa untuk semua. Dia adalah identiti pasukan. Biasanya apabila anda kehilangan pemain seperti ini, pasukan pasti kehilangan sesuatu yang istimewa,” ujarnya.
JDT melangkah ke final buat sekian kali dan edisi 2025/2026 sudah pasti bakal mengimbau kenangan apabila Sabah muncul finalis apabila menewaskan Selangor sekaligus bakal menyajikan mengulangi aksi final edisi 1998.
Untuk rekod, JDT yang dikenali Johor pada waktu itu menewaskan Sabah 1-0.
