Skip to main content

Bola Sepak

Piala FA: Gamel kecewa Selangor gagal manfaat peluang

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

Piala FA: Gamel kecewa Selangor gagal manfaat peluang

'Kami patut habiskan perlawanan ini lebih awal', tegas pemangku ketua jurulatih Selangor, Christophe Gamel, yang nyata kecewa gagal membawa pasukannya melangkah ke pentas final Piala FA buat kali kedua berturut-turut selepas tewas 4-5 kepada sabah menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi separuh akhir kedua yang berlangsung semalam.

Tanpa berselindung, pengendali kelahiran Perancis itu turut mengakui keliru dengan beberapa keputusan pengadil, Hasrol Mohd Amir antaranya membabitkan insiden penalti yang diberikan kepada sabah pada minit ke-85 perlawanan selain gol pasukannya di masa tambahan yang dibatalkan susulan ofsaid.

Advertisement

Ujar Gamel, pasukannya tidak memanfaatkan peluang sebaik mungkin tatkala memiliki ruang untuk menamatkan saingan dalam tempoh 90 minit permainan.

Dia turut berkata barisan pemainnya sudah memberikan yang terbaik namun dinafikan dengan kebangkitan Sabah yang berjaya mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 5-5.

"Tiada penyesalan daripada para pemain kerana mereka telah memberikan segala-galanya. Namun sejujurnya, ini kali pertama saya berada dalam perlawanan sebegini dan saya merasakan kami banyak 'ditipu'.

"Tetapi kami terpaksa akur dengan keadaan. Tahniah kepada Sabah dan syabas kepada semua pemain saya. Dalam penentuan penalti, ia sentiasa ibarat melambung syiling," katanya.

Sementara itu di kem pelawat, pengendalinya, Jean-Paul de Marigny memuji semangat juang tinggi yang dipamerkan anak buahnya meskipun dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan slot ke pentas final.

Untuk rekod, kali terakhir sang badak beraksi di final Piala FA ialah pada edisi 1998 yang menyaksikan mereka muncul naib juara selepas tewas 0-1 kepada Johor.
 

Jadual

warning-logo Tiada Maklumat Jadual

Must Watch Video