Kejohanan Berbasikal Trek ASEAN Piala Presiden 2026 siri pertama dan kedua meninggalkan kesan yang mendalam dan menjadi detik terindah karier Muhammad Ridwan Sahrom selepas mengesahkan slot ke saingan Piala Dunia 2026 di Perth, Australia.
Meskipun kesuntukkan masa untuk berlatih secara kompetitif namun, sensasi Ridwan Sahrom menerusi tuaian satu pingat emas dan dua gangsa seiring dengan statusnya selaku pelumba harapan skuad negara.
Advertisement
Ridwan Sahrom melalui transformasi menakjubkan sepanjang tempoh dua tahun lalu.
Selain meningkatkan kualiti otot badannya demi kepantasan maksima di trek, dia turut merekodkan peningkatan melibatkan aspek taktikal perlumbaan.
Hasil kejayaan itu, Ridwan mengesahkan slot dalam Piala Dunia 2026, sekali gus memberi petanda dirinya siap siaga menjadi taruhan kem negara.
"Saya rasa sudah melepasi mata untuk mara ke Piala Dunia. Misi seterusnya pula untuk fokus terhadap Kejuaraan Berbasikal Asia (ACC).
"Kemudian baru beralih ke Sukan Asia dan Sukan Komanwel.
"Kita lihat bagaimana perancangan jurulatih," katanya di Nadi Arena.
Sementara itu, Ridwan berkongsi aspek yang perlu ditingkatkan sepanjang musim ini di samping menyedari pelbagai faktor turut diambil kira demi mencapai kepantasan optimum.
Ridwan mempunyai sasaran peribadi untuk dilunaskan memandangkan musim 2026 merupakan tempoh yang ideal buat dirinya mengecapi penanda aras baru.
"Selepas berehat panjang dan mengerjakan ibadah Umrah, Alhamdulillah catatan masa tidak terlalu berbeza.
"Misi peribadi untuk memecahkan rekod peribadi dalam ACC," tambahnya.