Hasrat wakil Asia Tenggara, Vietnam, untuk ke final Piala Asia B-23 tidak kesampaian apabila tewas 0-3 kepada China dalam aksi separuh akhir di Jeddah awal pagi tadi.
Naga Emas menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 3-2 dalam masa tambahan aksi suku akhir awal pagi Jumaat lalu tetapi kali ini, apa yang direncanakan mereka serba tidak menjadi, terutama keruntuhan prestasi dalam babak kedua
Advertisement
Khuat Van Khang, hampir meletakkan Vietnam di depan pada minit ke-24 tetapi sepakan percumanya ditepis keluar penjaga gol, Li Hao.
Hanya dua minit selepas babak kedua bersambung, Peng Xiao berhasil meletakkan China di depan dengan menanduk masuk bola daripada sepakan sudut.
Lima minit berselang, giliran Xiang Yuwang menggandakan kelebihan itu, kali ini dengan ledakan rendah dalam kawasan penalti.
Keadaan kian parah buat Vietnam apabila Pham Ly Duc dilayangkan kad merah kerana menyiku pemain lawan dalam satu situasi tanpa bola.
Dengan kelebihan seorang pemain, China menambah satu lagi gol dalam waktu kecederaaan menerusi penyudah jarak dekat Wang Yudong.
Keputusan itu menyaksikan China akan berdepan Jepun, yang menewaskan Korea Selatan 1-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, bagi penentuan gelaran pada Sabtu ini.
Vietnam, dalam pada itu, akan berdepan Korea Selatan bagi penentuan tempat ketiga sehari lebih awal.