Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Hj Rahman, berkongsikan badan induk bola sepak negara itu masih menunggu maklum balas daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung perubahan masa tambahan daripada dua minit kepada tujuh minit yang berlaku sebelum ini.
Ia membabitkan aksi antara Indonesia dan Bangladesh di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta dalam kempen peringkat Kumpulan A, Piala ASEAN FIFA apabila Indonesia diberikan masa tambahan daripada dua minit kepada tujuh minit.
Pada awalnya, pembantu pengadil mengangkat papan tanda menunjukkan dua minit masa tambahan selain paparan televisyen turut menunjukkan tempoh yang sama.
Bagaimanapun, situasi berubah selepas Bangladesh meledak gol kedua apabila masa tambahan yang dipaparkan bertukar kepada tujuh minit sekali gus menimbulkan persoalan penyokong bola sepak.
Dalam tempoh masa tambahan tersebut, Indonesia berjaya menjaringkan dua gol menerusi Kevin Diks pada minit ke-96 sebelum Mitchell Baker melengkapkan hatriknya pada minit ke-97.
Dua jaringan berkenaan membantu Indonesia mencatat kemenangan besar 9-2 ke atas Bangladesh dan mara ke final berdasarkan jumlah jaringan keseluruhan mengatasai Malaysia.
Perubahan tempoh masa tambahan itu kemudian menjadi bahan perbincangan hangat di media sosial dengan rata-rata peminat mempersoalkan bagaimana masa tambahan boleh berubah daripada dua kepada tujuh minit.
"Kita (FAM) ada menghantar bantahan tetapi sehingga kini, kita masih belum menerima apa-apa jawapan dari FIFA.
"FAM akan melakukan tindakan susulan kepada FIFA untuk mendapatkan jawapan." katanya dipetik dari MakanBola.
Untuk rekod, terdahulu FAM mengemukakan permohonan rasmi kepada FIFA bagi menuntut penjelasan mengenai situasi itu.
"FAM akan mengemukakan permohonan rasmi kepada FIFA bagi menjelaskan asas, prosedur dan keadaan yang membawa kepada perubahan tempoh masa tambahan tersebut.
“FAM ingin menegaskan bahawa pengurusan masa perlawanan merupakan aspek penting dalam memastikan setiap perlawanan berlangsung secara adil, telus dan selaras dengan peraturan pertandingan ditetapkan." kongsi FAM sebelum ini.