Cristiano Ronaldo berdepan malam penuh kekecewaan apabila jaringan pembuka tirainya gagal menghalang Al-Nassr daripada tumbang 1-3 kepada Al-Ahli dalam aksi Liga Pro Arab Saudi.
Lebih menyakitkan, kapten Portugal itu berpeluang melebarkan kelebihan Al-Nassr menerusi sepakan penalti, namun gagal menyempurnakan peluang keemasan yang boleh mengubah perjalanan perlawanan.
Ronaldo terlebih dahulu meletakkan Al-Nassr di hadapan untuk mencapai jaringan ke-986 sepanjang karier profesionalnya, sekali gus meneruskan sentuhan berbisa selepas meledak empat gol dalam dua penampilan terakhir bersama kelab itu.
Bagaimanapun, kegagalan menyempurnakan penalti untuk mencatat gol kedua ternyata menjadi titik perubahan buat Al-Nassr.
Al-Ahli kemudian menghukum kegagalan itu apabila Galeno meledak gol penyamaan sebelum Ivan Toney meletakkan tuan rumah di hadapan 2-1.
Ibañez melengkapkan malam gemilang Al-Ahli dengan jaringan ketiga untuk memastikan kemenangan 3-1.
Keputusan itu menyaksikan Al-Nassr kehilangan tiga mata penting, sekali gus terlepas peluang merampas kedudukan teratas Liga Pro Arab Saudi.
Bagi Ronaldo, jaringan ke-986 itu tetap menambah koleksi peribadinya, namun kegagalan penalti pastinya meninggalkan rasa kecewa selepas Al-Nassr mensia-siakan peluang untuk mengawal perlawanan.