Skuad kebangsaan diundi berada dalam Kumpulan A bersama Indonesia, India dan Singapura menjelang saingan Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 yang akan bermula daripada 24 September hingga 3 Oktober nanti.
Indonesia secara rasmi akan menjadi tuan rumah bersama bagi kejohanan yang diperkenalkan oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa, Gianni Infantino, sebelum ini sekali gus menyaksikan kejohanan itu berada di bawah kalender FIFA.
Setiap ruangan komen mula dibanjiri peminat Sang Garuda yang 'teruja' menyambut kedatangan Harimau Malaya yang dianggap perlawanan paling mencuri tumpuan di rantau ini.
Ada yang tidak sabar menantikan permainan tersebut. Mampukah skuad kendalian jurulatih interim, Tan Cheng Hoe, menakluk kubu kuat negara jiran?
Kali terakhir Malaysia dan Indonesia bertemu adalah pada Disember 2021, apabila Indonesia mencatat kemenangan 4-1 ke atas Malaysia.
Derbi Nusantara terus dikenang sebagai perseteruan hangat akibat suhu perlawanan yang pastinya mendebarkan.