INDONESIA 0 MALAYSIA 0
Harimau Malaya kebuntuan penyudah dan terlepas untuk menghukum Indonesia yang beraksi dengan 10 pemain dalam majoriti pertembungan di Stadium Gelora Bung Karno, sebentar tadi.
Pemain tengah Garuda, Thom Haye, pada mulanya dikenakan kad kuning sebelum semakan video bantuan pengadil (VAR) mengubah hukuman ke atas Arif Aiman Hanapi itu kepada lebih berat pada minit ke-36.
Bertitik tolak daripada kejadian itu, aksi kedua Kumpulan A, Piala ASEAN FIFA, menjadi berat sebelah dan memihak Malaysia.
Meskipun permainan kerap berlegar di kubu tuan rumah, anak buah Tan Cheng Hoe sukar untuk menembusi gawang lawan yang dikawal Maarten Paes daripada kelab Ajax di Belanda.
Dalam masa sama, kecekapan Paes turut mematahkan serangan Malaysia dari sebelah sayap termasuk tolakan Syahmi Safari yang melepasi palang gol Indonesia, sekali gus berkongsi satu mata.
Malaysia kekal menerajui kumpulan dan bakal berentap dengan Singapura pada Khamis ini bagi menentukan kemaraan ke final.