Menteri Belia Dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh, yakin dengan penubuhan Pusat Pembangunan Satelit Berbasikal Dunia, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang pertama di Asia Tenggara di Johor Bahru bakal menjadi pusat pembangunan kecemerlangan bagi disiplin perlumbaan BMX di rantau ini.
"Saya berharap untuk sukan berbasikal ini kita tidak hanya bagus dalam acara trek tetapi juga menerusi BMX.
Advertisement
"Ia mudah diakses oleh generasi muda kerana ia murah dan lebih banyak kanak-kanak dapat sertai sukan ini.
"Saya berharap pusat ini akan dikenali dengan sokongan bukan sahaja daripada UCI, tetapi Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Johor." katanya.
Kewujudan Pusat WCC RDS akan mengangkat martabat negara sebagai antara kuasa besar dan elit dalam arena berbasikal di Asia, setanding Jepun, China dan Korea Selatan.
Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill, percaya acara yang berlangsung di Johor Bahru itu merupakan satu penghormatan yang besar untuk Malaysia dan Kerajaan Negeri Johor.
Dia menegaskan penubuhan itu akan memberikan peluang pelaksanaan pelbagai program latihan dan pembangunan untuk atlet, jurulatih, mekanik serta pengadil tempatan.
"Pusat Berbasikal Dunia ini ditubuhkan agar kita dapat membangunkan sebanyak mungkin atlet khasnya sukan BMX dan trek juga.
"Kita akan dapat bantuan daripada jurulatih daripada WCC di Switzerland dan pakar-pakar untuk datang."tambahnya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan sSukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah, yang mewakili Menteri Besar Johor, Ketua Pengarah UCI, Amina Lanaya, bekas timbalan Perdana Menteri, Tun Musa
Hitam, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman dan barisan exco serta Majlis PKBM.