Berdasarkan kepada prestasi yang dipamerkan atlet orienteering pekak dalam edisi kedua kejohanan yang berlangsung di Negeri Sembilan, minggu ini, Presiden Persatuan Sukan Orienteering Malaysia (Pesom) melihat keperluan untuk membawa mereka ke landasan sebenar.
Usaha itu bagi memastikan atlet pekak menerima latihan mencukupi serta mampu meningkatkan skil dan teknik pembacaan peta bagi mengurangkan jurang masa dalam saingan antarabangsa.
Presiden Pesom, Shamsuri Abd Latif, turut mengesahkan beberapa peserta telah dikenal pasti untuk dipilih mewakili negara di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, Malaysia memiliki peluang cerah untuk mendapat pingat dalam Kejohanan Sukan SEA Pekak tahun hadapan, kerana jurang atlet negara berbanding atlet pekak Asia Tenggara yang lain tidak menunjukkan jurang yang jauh.
"Kami sedang mencari atlet untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
"Di Malaysia, sukan ini bermula empat tahun lalu dan Pesom membantu mengasah bakat atlet bisu dan pekak.
"Acara orienteering ini turut dipertandingkan di peringkat Asia Pasifik dan kali ini sepatutnya dianjurkan di Malaysia, tetapi oleh kerana penyertaan dari luar negara yang tidak mencukupi maka kejohanan ini dibatalkan.
"Dan kami akan hantar peserta apabila ia diadakan di negara lain," katanya.