Atau Chelsea yang bermasalah?
Johor Darul Ta'zim (JDT) hampir mencipta kejutan untuk menewaskan Chelsea dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pramusim, namun kedua-dua pasukan menamatkan permainan dengan keputusan seri 3-3 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam tadi.
Meskipun berdepan barisan The Blues yang banyak menampilkan pemain muda selepas kebanyakan tonggak utama tidak diturunkan dalam aksi menentang AC Milan Sabtu lalu, JDT hadir dengan skuad utama.
Lebih mengujakan, bekas Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga-M), Arif Aiman Hanapi, membuka jaringan pertama, sekali gus menjadi bualan peminat seluruh dunia melihat taraf yang dipamerkan.
Mujur Liam Delap menyempurnakan dua sepakan penalti untuk skuad kendalian Xabi Alonso itu mendahului 2-1.
Enggan mengaku kalah, wakil Liga Super itu membuktikan mengapa mereka juara saingan tempatan 12 kali berturut-turut tatkala sepakan percuma Oscar Arribas menghadiahkan penyamaan selepas bola terkena benteng pertahanan menewaskan penjaga gol Chelsea.
Our final pre-season tour fixture ends level. 🇲🇾⏹️ pic.twitter.com/PBDe3kY3BI
— Chelsea FC (@ChelseaFC) August 9, 2026
Penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super, Bergson da Silva, muncul sebagai wira sementara apabila meledakkan gol ketiga Harimau Selatan untuk mengubah kedudukan kepada 3-2.
Ketika pasukan bimbingan Xisco Munoz hampir mengukir sejarah, nasib malang menimpa tuan rumah apabila Antonio Glauder tertampan bola ke gawang sendiri pada lewat permainan memaksa Syihan Hazmi Mohamed gagal menyelamatkan biasan tersebut.
Jaringan tersebut kembali mengikat kedudukan 3-3 dan memuktamadkan keputusan sehingga wisel penamat.
Media sosial tidak berhenti bergegar susulan peminat meluahkan pandangan masing-masing terhadap kedua-dua pasukan.
Ada yang menganggap JDT bernasib baik ekoran juara Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dua kali itu tidak menggunakan kekuatan sebenar. Tetapi ada juga yang melihat Chelsea tidak mampu mencipta peluang terbuka.
Hantaran komen juga menyaksikan sesetangah penyokong kagum menonton aksi tersebut.
Peminat JDT dan Chelsea, bagaimana pendapat anda?