Dengan aksi pramusim sedang hangat berlangsung, ramai pengkritik bola sepak tampil dengan teori dan analisis tersendiri mengenai pemain mana yang perlu diberikan perhatian pada musim baharu Liga Perdana Inggeris.
Salah seorang pemain yang mendapat ulasan positif adalah pemain tengah Liverpool, Treymaurice Nyoni yang baru berusia 19 tahun.
Menurut wartawan bola sepak BBC, Aadam Patel, pemain yang mesra disapa Trey Nyoni itu sememangnya sudah bersedia untuk membarisi pasukan utama Liverpool tetapi tidak diberikan peluang yang sebaiknya oleh Arne Slot sebelum ini.
Beliau percaya nasib Nyoni akan berbeza musim ini apabila Liverpool dikendalikan oleh pengurus baharu, Andoni Iraola.
Dalam satu temu bual, Iraola akui Nyoni merupakan pemain yang berbakat besar, dan apa yang lebih penting, pemain tengah itu sentiasa berani mengambil risiko untuk meminta bola walaupun berada hampir dengan pemain lawan.
Selain Nyoni, seorang lagi pemain muda yang terlebih dahulu mencuri tumpuan adalah Rio Ngumoha yang membuat debut bersama skuad the three lions pada Jun lalu.
Pemain berusia 17 tahun itu pernah mencipta sensasi dengan isu perpindahannya dari Chelsea ke Liverpool pada 2024 serta dianggap sebagai pemain kesayangan Arne Slot sehingga mencetus perdebatan mengenai minit permainannya selepas ini.