Petarung muay thai negara, Rifdean Masdor, gagal melepasi ujian timbang berat dan hidrasi (hydration test) menjelang pertemuan berdepan jaguh dari Jepun, Nadaka Yoshinari, dalam saingan ONE Samurai 4 di Tokyo, esok.
Kegagalan untuk melepasi ujian itu menyaksikan Rifdean tidak layak untuk merebut tali pinggang dunia daripada juara bertahan berusia 25 tahun itu, namun Rifdean perlu menghantar sampel ujian terkini sebelum pertarungan diteruskan menerusi catchweight iaitu persetujuan daripada pihak lawan untuk bertarung meskipun terdapat perbezaan daripada aspek berat badan.
Menerusi laman Instagram ONE Championship, berkongsikan: "Rifdean Masdor gagal memenuhi syarat berat badan dan tahap hidrasi menjelang pertarungan merebut Gelaran Dunia menentang Nadaka di ONE SAMURAI 4.
"Dia kini perlu menyerahkan sampel yang menunjukkan tahap hidrasi yang mencukupi sebelum boleh berunding untuk mengadakan perlawanan dengan had berat yang dipersetujui bersama (catchweight) menentang Nadaka.
"Rifdean tidak lagi layak untuk memenangi Gelaran Dunia Muay Thai ONE kategori Atomweight. Nantikan perkembangan terkini di saluran media sosial kami!" kongsinya.