Bekas pengurus Manchester City, Pep Guardiola, sekali lagi menyatakan sokongannya kepada seluruh rakyat Palestin menerusi satu kenyataan emosional yang dibuatnya.
Pengurus yang berasal dari Sepanyol itu muncul dalam sebuah video hasil kolaborasi bersama United Nations Relief and Works Agency (UNRWA), menyatakan solidaritinya bersama rakyat Palestin.
Guardiola, yang sebelum ini lantang memberikan pandangan secara terbuka berkaitan krisis kemanusiaan ini, meluahkan kebimbingannya terhadap kanak-kanak yang telah kehilangan ahli keluarga serta tempat tinggal ketika konflik masih melanda.
"Kita sedang hidup dalam kegelapan. Kita melihat kanak-kanak di Gaza mencari ibu bapa mereka di bawah runtuhan. Meminta pertolongan. Berlapar dahaga. Ditinggalkan sendirian." ujarnya dalam video itu.
"Kita melihat mereka hilang segalanya sebelum mereka berpeluang untuk membesar. Nyawa mereka (rakyat Palestin) juga berharga sama seperti kita. Kesakitan mereka tidak dapat dibayangkan. Jangan kita lupa. Solidariti bersama Palestin tidak boleh berhenti. Sama juga dengan tanggungjawab kita," tambah Guardiola.
Guardiola satu figura yang tidak asing dalam memberikan pandangan lantang melibatkan isu Palestin. Pada awal tahun ini, Guardiola dilihat memakai 'keffiyeh' semasa berucap di majlis amal "Act x Palestine" yang bertempat di Barcelona, sebuah acara yang bertujuan untuk mengutip dana bagi disalurkan kepada para pekerja kesihatan di Gaza.