Kehadiran semula Yap Suo Kuen dalam skuad KL Wildcats mencuri perhatian peminat arena bola jaring tanah air menjelang Netball Super League (NSL) 2026.
Bekas pertahanan Putrajaya Dynamites itu kembali mewarnai kancah NSL selepas berehat selama semusim berikutan kelahiran cahaya mata, secara tidak langsung membawa naratif tentang kekuatan seorang ibu dalam sukan kompetitif.
Advertisement
Suo Kuen mengakui tempoh rehat tersebut menuntutnya untuk memulakan semula rutin latihan -- daripada aspek kecergasan, ketahanan mental hinggalah keserasian bersama rakan sepasukan, semuanya perlu dibina kembali secara berperingkat.
"Saya mulakan dengan latihan ringan seperti larian, kemudian angkat berat.
"Selepas itu barulah latihan melibatkan pecutan dan lompatan bagi mengelak kecederaan selepas bersalin," katanya.
Meskipun kini menjadi antara pemain paling senior dalam skuad, Suo Kuen menegaskan kehadirannya bukan sekadar bersandarkan reputasi atau pengalaman lampau.
Sebaliknya, dia mahu membuktikan bahawa dirinya masih mampu menyaingi prestasi pemain muda yang semakin menyerlah, sekali gus memperkukuhkan benteng pertahanan pasukan menjelang musim baharu.
"Kelibat saya di sini bukanlah bersandarkan prestasi yang lalu semata-mata, ia kerana saya memang berhak menyertai pasukan.
"Walaupun tidak secergas dan setangkas pemain muda, tapi saya masih mampu menghambat mereka," katanya.