Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish, mengakui melalui pelumbaan sukar ketika menamatkan GP Belanda di Litar Assen di tempat ketujuh hari ini.
Bagaimanapun, menurutnya, dia sudah memberikan yang terbaik dan berjanji akan meningkatkan prestasinya dalam perlumbaan akan datang.
Biarpun memulakan perlumbaan dari petak ke-16, pelumba berusia 19 tahun itu berhasil melaju ke kelompok depan dan pada satu ketika berada di kedudukan kedua.
Bagaimanapun, penggunaan tayar yang terlalu ekstrem menyaksikan jenteranya kehilangan daya cengkam menuju dua lap terakhir tetapi Hakim Danish masih dapat menamatkan perlumbaan di tempat ke-10.
Dengan beberapa pelumba di depannya dikenakan penalti 3 saat berikutan melepasi batas litar, Hakim Danish dinaikkan ke tangga ketujuh untuk memperoleh sembilan mata.
Dengan tambahan itu, pelumba negara berkenaan melonjak ke tangga keenam keseluruhan dengan 82 mata, jumlah mata yang sama dengan pelumba Indonesia, Veda Pratama, tetapi memandangkan Hakim Danish memiliki rekod podium lebih baik (P1 dan P3) berbanding Veda (P3), dia kini berada di tangga keenam berbanding Veda di tangga ketujuh.
Dalam perebutan gelaran Rookie of the Year pula, Hakim Danish kini berada di tangga kedua di belakang pelumba Sepanyol, Brian Uriarte (102 mata), manakala Veda ketiga.
"Perlumbaan sukar hari ini tetapi saya berjaya menguruskan perlumbaan dengan baik," katanya dalam satu hantaran media sosial sebentar tadi.
"Pada mulanya, saya bermula dari P16 dan saya berjaya tembus ke kelompok depan dan bersaing untuk top 3.
"Perlumbaan sangat sengit apabila tiba kelompok lain dan saya cuba kekalkan momentum walaupun keyakinan saya dengan tayar tidak begitu baik dan saya tamat P7.
"Perlumbaan seterusnya, saya akan tingkatkan lagi fokus dan prestasi saya."