Belum pun pulih sepenuhnya daripada insiden kecederaan gigi ketika tugasan antarabangsa minggu lalu, bintang Paris Saint-Germain (PSG), Désiré Doué sekali lagi ditimpa malang apabila mengalami kecederaan lutut kanan yang mencemaskan ketika membantu pasukannya menewaskan OGC Nice 3-2 dalam aksi Ligue 1.
Lebih membimbangkan, kecederaan itu berlaku tanpa sebarang sentuhan pemain lawan, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan masalah serius pada struktur lutut pemain muda Perancis berkenaan.
Insiden berlaku sekitar minit ke-38 atau ke-39 apabila Doué sedang melindungi bola daripada pemain Nice, Sofiane Diop.
‼️Désiré Doué was stretchered off in tears after a serious non-contact right knee injury vs Nice — just minutes after scoring for PSG. Luis Enrique confirmed it’s a serious injury. MRI scheduled for tomorrow. 🙏❤️ #Ligue1 https://t.co/uVzr6nDDnS
— Footballnus (@footballnus) November 21, 2026
Ketika cuba melakukan pusingan, kaki kanannya tiba-tiba kelihatan terlipat dan gagal menampung berat badannya sebelum dia rebah kesakitan di atas padang.
Doué yang jelas menahan kesakitan menerima rawatan sebelum terpaksa diusung keluar menggunakan pengusung dalam keadaan menitiskan air mata.
Ferran Torres kemudian dimasukkan bagi menggantikan pemain berkenaan.
Lebih menyedihkan, Doué sebenarnya sudah menyumbang jaringan pada separuh masa pertama sebelum insiden malang itu memaksanya meninggalkan permainan.
Pengendali PSG, Luis Enrique, mengakui kecederaan itu kelihatan serius selepas meneliti rakaman insiden berkenaan, namun diagnosis rasmi masih belum diumumkan.
Beliau turut memaklumkan maklumat lanjut mengenai keadaan pemain itu dijangka diketahui pada Ahad selepas pemeriksaan perubatan dilakukan.
Kecederaan tanpa sentuhan yang menyaksikan lutut Doué tiba-tiba terlipat mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan kecederaan ligamen atau meniskus, termasuk anterior cruciate ligament (ACL).
Bagaimanapun, tahap sebenar kecederaan masih belum dapat dipastikan dan memerlukan pemeriksaan lanjut, termasuk imbasan MRI.
Apa yang menambahkan rasa simpati terhadap Doué, pemain itu baru sahaja melalui insiden kecederaan gigi ketika mewakili Perancis menentang Itali dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA pada 12 November lalu.
Ketika perlawanan di San Siro itu, Doué terkena siku pemain Itali, Davide Frattesi secara tidak sengaja sehingga mengalami kecederaan pada gigi hadapan.
Laporan menyebut gigi berkenaan mengalami kecederaan sehingga teralih kedudukan dan perlu distabilkan sebelum dia kembali menjalani latihan dengan memakai pelindung mulut.
Selepas insiden gigi, Doué kembali beraksi bersama PSG, namun kini terpaksa berdepan satu lagi ujian yang jauh lebih membimbangkan.
Daripada kecederaan gigi minggu lalu kepada lutut yang terlipat tanpa sentuhan lawan, nasib Doué benar-benar malang.
Kini, tumpuan terarah kepada keputusan pemeriksaan perubatan yang bakal menentukan tahap kecederaan serta tempoh pemain muda itu perlu berehat.