Selepas tujuh tahun saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) tanpa pelumba tetap dari Malaysia, kehadiran Hakim Danish menandakan satu kerinduan buat penyokong permotoran tanah air untuk melihat anak tempatan bersaing di pentas tertinggi.
Saban tahun menjelang saingan MotoGP, perbualan kerap membaling tanda tanya serta menjadi perbualan hangat mengenai siapakah pemilik tiket wildcard bagi mewakili negara ke kejuaraan itu, namun perbezaan kali ini negara memiliki wakil tetap sendiri yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI.
Meskipun pelumba berusia 19 tahun itu terlepas peluang menduduki podium di laman sendiri, namun ia bukanlah penamat kepada perjuangan sejati yang dipamerkan pelumba Moto3 negara itu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Ahad.
Penulis yang berpeluang hadir ke venue kejuaraan pada Ahad lalu tidak terlepas menyaksikan perjuangan itu, namun lebih tertumpu kepada melihat sokongan padu, sorakan tanpa henti dan jeritan nama 'Hakim Danish' sejak dari awal sehingga perlumbaan berakhir.
Dalam kempen hari pertama pada Jumaat, hakim memulakan sesi latihan bebas pertama (FP1) dalam kelompok lima terpantas diikuti meraih kedudukan ketiga terpantas -ulangi pencapaian Zulfahmi Khairuddin mula di petak utama pada 2012- pada Sabtu dalam sesi kelayakan untuk mengesahkan tempat di barisan hadapan.
Prestasi itu secara tidak langsung membakar semangat penyokong tanah air yang bakal hadir menyaksikan perlumbaan itu untuk melihat wakil negara kembali meraih podium di litar keramat negara, Litar Antarabangsa Sepang selepas kali terakhir dilakukan Zulfahmi Khairuddin -menamatkan perlumbaan di tempat kedua- dalam kategori sama pada 2012.
Lebih ironi lagi, penyokong turut disajikan dengan aksi sengit pada lap kesembilan apabila Hakim berjaya memotong pelumba Red Bull KTM Ajo, Alvaro Carpe, untuk berada di kedudukan kedua di hadapab pelumba Indonesia, Veda Pratama, selain aksi sengit Hakim yang berada di kedudukan kelima memintas Carpe dua kali yang melahirkan keterujaan sebelum menamatkan saingan di kedudukan keempat.
Kepuasan itu bukanlah sekadar melihat aksi sengit antara pelumba dan seorang lagi pelumba, malah melihat wakil negara bersaing dengan pelumba terbaik dunia yang lain di peringkat tertinggi permotoran.
Keterujaan yang hadir setahun sekali itu semestinya bakal kembali dalam saingan Moto3 musim depan di SIC sekali lagi dengan Hakim Danish secara rasmi akan terus kekal bersama MSi Racing bagi musim 2027 nanti.
Keyakinan pasukan yang berpangkalan di Sepanyol itu semestinya membuktikan keyakinan yang tinggi diberikan kepada pelumba negara, sekali gus membuka jalan buat pelumba muda lain seperti Qabil Irfan Azlan, Qayyim Razin dan Naqib Rifqi sebagai prospek masa akan datang.