Di sebalik kejayaan luar biasa yang pernah dilakar oleh jaguh-jaguh berbasikal trek negara seperti Datuk Azizulhasni Awang, Josiah Ng, dan Fatehah Mustapa di pentas dunia, realiti sukan berbasikal trek kebangsaan kini berdepan dengan satu persoalan besar.
Mengapa ramai pelumba remaja yang cemerlang gagal melakukan transisi ke peringkat elit dan kempunan untuk menyambung legasi berkenaan di pentas tertinggi?
Terdapat senarai panjang bakat muda yang menyepi sebelum mencapai usia emas, antaranya Firdaus Zonis, yang pernah menguasai ACC 2014-2015, atau Syamil Baharum, yang memecahkan rekod remaja milik Azizulhasni, menyerlahkan lompong besar dalam transisi peringkat remaja ke peringkat elit.
Isu ketandusan pelapis ini menuntut penilaian semula sistem pembangunan, terutama peranan jurulatih kebangsaan, di mana program berprestasi tinggi sepatutnya diukur pada kesinambungan bakat.
Kelemahan komunikasi dan kerjasama di antara jurulatih elit dan akar umbi sering merencatkan potensi atlet, menghalang pendekatan komprehensif dalam pengkhususan disiplin.
Rentetan konflik dalaman ini, program pembangunan negara terdedah kepada risiko kepincangan sekiranya tiada pelan penggantian konkrit disediakan.
Walaupun usaha seperti kolaborasi bersama bekas jurulatih Perancis, Herman Terryn, sempat menunjukkan hasil dengan melahirkan barisan bakat baharu, kesinambungan itu sekali lagi dibantutkan oleh perubahan dalam struktur kejurulatihan selepas dia meninggalkan pasukan kebangsaan pada Mei lalu.
Sebelum pemergiannya, Terryn sempat menitipkan amaran bahawa Malaysia berisiko untuk terus ketinggalan berbanding negara kuasa besar lain sekiranya tiada reformasi menyeluruh dilakukan terhadap sistem pembangunan sedia ada.
Segala pihak berkepentingan perlu meneliti isu kehilangan atlet berpotensi ini secara objektif demi memastikan kelangsungan legasi sukan berbasikal trek negara.
Jika tidak, negara mungkin akan melalui kemarau panjang dalam mencari pengganti sebenar Azizulhasni.
Menyedari perkara itu, langkah penubuhan Panel Pakar bagi Program Pembangunan Sukan Olimpik (OSDP) yang dipengerusikan oleh legenda lumba basikal trek dan lebuh raya negara, M. Kumaresan, jelas memperlihatkan kesediaan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).
Gabungan autoriti dan kepakaran ini menjadi isyarat jelas bahawa pemegang taruh sukan negara komited untuk mencari solusi tuntas serta memperkasakan jaringan komunikasi di antara kem elit dan akar umbi.
Pada masa sama, seluruh landskap berbasikal negara wajar menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada John Beasley atas pengorbanan dan khidmat bakti luar biasanya selama dua dekad ini.
Di bawah acuan dan bimbingan Beasley, dia bukan sahaja memastikan Azizulhasni kekal sebagai ikon sukan global, malah meletakkan standard sukan berbasikal trek Malaysia di tahap tertinggi dunia.
Legasi yang akan ditinggalkan Beasley ini menjadi asas penting untuk panel pakar baharu berkenaan memacu, menyaring, dan menggilap permata muda negara demi memastikan impian pingat emas pertama Sukan Olimpik daripada sukan berbasikal terus bernyala seandainya ia ditakdirkan bukan untuk Azizulhasni.