Skip to main content

Sukan SEA

Meledak: Kisah-kisah ketua kontinjen Malaysia ke Sukan SEAP/SEA

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

KBS

ATLET menembak dihantar pulang, pelumba basikal mengambil bahan terlarang, atlet olahraga hilang tanpa dikesan dan kisah baling botol dan tong sampah ke arah rakan-rakan senegara – ini antara peristiwa yang mewarnai penyertaan Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA.

Jadi, siapakah yang membuat keputusan untuk mengambil tindakan sewajarnya apabila kesi sebegini berlaku?

Advertisement

Temasya dwitahunan Sukan SEA atau asalnya Sukan SEAP bukan sekadar berkisar kepada kalungan pingat emas atau langkahan seorang atlet ke podium.

Di sebalik kilauan emas yang menjadi kebanggaan negara, Ketua Kontinjen atau dalam Bahasa Perancis Chef de Mission (Ketua Misi), berdepan dengan pelbagai cabaran – daripada segi keselesaan penginapan, kesihatan mental dan kebajikan atlet serta logistik dan kemudahan latihan.

Ketua Kontinjen juga biasanya tidak lokek mengeluarkan duit sendiri bagi memastikan atlet, anak buah, anggota sekretariat dan kakitangan sokongan melepas lelah.

CDM Malaysia untuk edisi ke-33 ialah legenda renang negara, Nurul Huda Abdullah, bekas atlet keempat dilantik mengetuai kontinjen sepanjang penyertaan Malaysia ke temasya dwitahunan itu sejak 1959.

Misinya ke Thailand bermula secara rasmi pada 9 Disember nanti, dengan Nurul bakal menyusuri jejak langkah bekas pemain polo air Datuk Sieh Kok Chi (Brunei 1999), bekas penjaga gol hoki negara, Datuk Ho Koh Chye (Ho Chi Minh 2003) dan bekas pelari berpagar tanah air, Datuk Marina Chin di Kuala Lumpur pada 2017.

Menyingkap senarai Chef de Mission negara sejak temasya itu dianjurkan kali pertama di Bangkok di bawah nama Sukan SEAP, secara tradisinya tanggungjawab besar itu diserahkan kepada pucuk pimpinan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atau pemimpin persatuan kebangsaan yang lazimnya diterajui ahli politik, pegawai kerajaan dan Ahli Parlimen.

Nurul Huda yang pernah menjadi timbalan CDM di Manila 2019, adalah individu ke-31 menerima penghormatan ini.

Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat memegang jawatan itu tiga kali, diikuti Allahyarham Datuk Dr Aziz Durairatnam (dua kali) dan Allahyarham Tan Sri Elyas Omar (dua kali).

Mohamed, CDM dan naib presiden MOM ketika itu, memutuskan menghantar pulang lapan penembak yang enggan menginap di perkampungan sukan di University of Life di Manila 1981. Seorang pelumba basikal pula disah mengambil bahan perangsang stanozolol manakala seorang peserta olahraga ghaib tidak dapat dikesan.

Tan Sri Khir Johari, CDM dan timbalan presiden MOM, pula berdepan isu dua pemain ragbi yang melanggar perintah berkurung, manakala dua atlet olahraga membaling botol dan tong sampah ke arah rakan senegara di Chiangmai 1995.

Itu kisah-kisah lama.

Bagi Nurul yang mengumpul 22 pingat emas di kolam renang menerusi empat penyertaan dari 1983 hingga 1989, beliau memiliki DNA kemenangan.

Selaku Chef de Mission Wanita yang keempat selepas Norminsah di Hanoi, Datuk Low Beng Choo (Manila 2005) dan Marina (2017), Nurul memiliki formula kepimpinan tersendiri.

Beliau sedar ketua kontinjen bukan sekadar jawatan simbolik, tetapi tulang belakang kontinjen negara. Mereka memastikan segala aspek — dari logistik hingga semangat juang — berada pada tahap terbaik, supaya atlet dapat fokus sepenuhnya kepada prestasi dan membawa pulang kejayaan untuk Malaysia.

Dalam mendepani pelbagai isu di Bangkok dan Chonburi, Nurul tidak berseorangan. Tiga timbalannya – Datuk Kenny Goh, Nazmizan Muhamad dan Jivan Mohan – bukan asing dalam temasya Sukan SEA.

Kenny, yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), bakal terbabit dalam temasya kelimanya, manakala Nazmizan mengumpul dua pingat emas dan dua perak menerusi tiga penyertaan (1999, 2001 dan 2003), termasuk gelaran berganda 100m dan 200m di Hanoi 2003.

Jivan pula anggota skuad hoki negara yang memenangi pingat emas 2013 dan 2015.

Dengan sentuhan mereka, dibantu anggota sekretariat dan sokongan yang biasanya akan bekerja siang malam, sasaran Malaysia untuk mengutip 200 pingat secara keseluruhan, harus tercapai.


SENARAI KETUA KONTINJEN NEGARA KE SUKAN SEAP/SEA

  1. Thong Poh Nyen (Bangkok 1959)
  2. V. Rajaratnam (Rangoon 1961)
  3. Datuk Dr Aziz Durairatnam (KL 1965 dan Bangkok 1967)
  4. Datuk Ling Beng Siew (Rangoon 1969)
  5. Datuk Yeop Mahidin (KL 1971)
  6. Tan Sri Jamil Rais (Singapura 1973)
  7. Datuk Ahmad Sabki Jahidin (Bangkok 1975)
  8. Datuk Mohamed Rahmat (KL 1977, Jakarta 1979 dan Manila 1981)
  9. Datuk Noh Abdullah (Singapura 1983)
  10. Datuk Zaman Khan (Bangkok 1985)
  11. Tan Sri Elyas Omar (Jakarta 1987 dan Manila 1991)
  12. Datuk Kamalul Ariffin Rahim (KL 1989)
  13. Datuk Mohd Khalid Yunus (Singapura 1993)
  14. Tan Sri Mohd Khir Johari (Chiangmai 1995)
  15. Tan Sri Megat Junid Megat Ayub (Jakarta 1997)
  16. Datuk Sieh Kok Chi (Brunei 1999)
  17. Datuk Wira Mazlan Ahmad (KL 2001)
  18. Datuk Ho Koh Chye/Norminshah Sabirin (Ho Chi Minh/Hanoi 2003)
  19. Datuk Low Beng Choo (Manila 2005)
  20. Datuk Zainal Abidin Ahmad (Korat 2007)
  21. Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz (Laos) 2009
  22. Datuk Naim Mohamad (Jakarta), Datuk Syed Mustaffa Syed Ali (Palembang) 2011
  23. Datuk Wira Amiruddin Che Embi (Naypyitaw) 2013
  24. Datuk Seri Norza Zakaria (Singapura) 2015
  25. Datuk Marina Chin (Kuala Lumpur) 2017
  26. Datuk Megat Zulkarnain Megat Omardin (Manila) 2019
  27. Datuk Nur Azmi Ahmad (Hanoi) 2021
  28. Datuk Mohd Nasir Ali (Kemboja) 2023
  29. Nurul Huda Abdullah (Bangkok, Chonburi) 2025

Topik Berkaitan

Must Watch Video