Skip to main content

Rencana

Meledak: Kad merah untuk pemain, kad kuning untuk exco FAM?

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

FAM

DUA berita besar menyelimuti bola sepak negara dalam tempoh 24 jam.

Pertama, tujuh pemain warisan yang digantung 12 bulan gara-gara didapati bersalah oleh FIFA terbabit dalam skandal pemalsuan dokumen kelahiran untuk permohonan kewarganegaraan, diberi kebenaran sementara untuk beraksi semula oleh Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) sementara menunggu keputusan muktamad.

Advertisement

Kedua, tidak pernah dalam sejarah bola sepak negara pucuk pimpinan badan induk kebangsaan meletak jawatan secara beramai-ramai, sambil mengundang Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk melakukan penilaian tadbir urus susulan skandal membabitkan pemalsuan dokumen terbabit.

Penangguhan Pelaksanaan (Stay of Execution) yang dikemukakan oleh tujuh pemain pasukan kebangsaan iaitu Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel bermakna mereka dibenarkan untuk meneruskan karier serta menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS dibuat pada hujung Februari.

Ringkasnya, kad merah yang dilayangkan oleh FIFA, secara metaforanya, belum ditarik balik sepenuhnya oleh CAS.

Bagi pucuk pimpinan FAM yang diterajui oleh Pemangku Presiden, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, mereka akur bahawa seandainya berdegil bertahan tanpa ada sebarang petunjuk kepada siapa yang bersalah dalam kes pemalsuan dokumen kelahiran nenek dan datuk tujuh pemain itu, badan induk negara berdepan risiko hukuman lebih berat daripada FIFA.

Keputusan berani ini menunjukkan bahawa mereka sayang FAM sebagai sebuah institusi dan sanggup memikul tanggungjawab biarpun mereka tidak bersalah 100 peratus.

Ramai yang tertanya-tanya apa jadi kepada pengurusan pasukan kebangsaan yang diketuai Rob  Friend?

Kenapa Exco FAM 2025-2029 yang terpaksa mengambil tanggungjawab ini sedangkan exco FAM 2021-2025 yang dikepalai oleh Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang menyerah ppengurusan Harimau Malaya kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Oktober 2024 dan dipersetujui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Hannah Yeoh?

Hakikatnya, FIFA tidak mengambil tindakan terhadap individu yang tidak berada dalam kompisisi tadbir urus sesebuah badan induk.

Badan induk dunia itu hanya mengambil tindakan terhadap pemegang jawatan yang mentadbir urus persatuan secara sah.

Tabik hormat kepada ahli jawatankuasa eksekutif FAM yang terdiri daripada Yusoff, Datuk S. Sivasundaram, Datuk Seri Rosmadi Ismail, Datuk Saaran Nadarajah, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin, Datuk Dollah Salleh, Datuk Zainal Abidin Hassan, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, Hishamuddin Abdul Karim, Datuk Seri Yusri Hassan Basri, Mohd Azizudin Mohd Shariff, Tang Chee Hong, Datuk S. Sugumaran, Datuk Kamarudin Hassan, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah dan Datuk Suraya Yaacob kerana mengambil keputusan ini secara kolektif, walaupun secara peribadi ada segelintir yang menentang.

Sambil AFC memantau dan menilai semula semua aspek tadbir urus FAM, tidak mustahil satu badan bebas dilantik untuk membuat penilaian sebagaimana sebuah syarikat perundingan bereputasi besar pernah melakukan audit pengurusan ke atas FAM pada 2005.

Skandal dokumentasi tujuh pemain warisan itu sebenarnya membawa rahmat.

Ini peluang untuk FAM menggabungkan golongan profesional, perniagaan atau korporat dengan bekas pemain seperti Dollah dan Zainal – dua legenda yang harus diberi peluang untuk kembali menerajui badan induk kebangsaan, selain beberapa orang lama untuk memberi bimbingan

Exco FAM selepas ini harus tampil dengan wajah baharu, dianggotai gabungan tokoh berpengalaman, bekas pemain dan tokoh perniagaan yang berwibawa, berwawasan, berintegriti dan telus - hadiah paling sesuai untuk badan induk genap berusia 100 tahun September nanti.

Must Watch Video