Skip to main content

Bola Sepak

Meledak: Dua pasukan satu tujuan, JDT-Kuching City buru penamat musim sempurna

Meledak: Dua pasukan satu tujuan, JDT-Kuching City buru penamat musim sempurna

Setiap perjalanan panjang harus bermula dengan satu langkah pertama, yang kemudian disusuli dengan langkah-langkah seterusnya sehingga sampai ke destinasi yang dituju.

Itu yang sedang dilalui dua kelab terbaik Malaysia musim ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuching City, menjelang perebutan gelaran Piala Malaysia di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini.

Kedua-dua kelab itu sedang meniti musim terbaik masing-masing, yang harus ditutup dengan gelaran sebelum melambaikan tangan kepada musim 2025-26.

JDT, misalnya, melewati musim cukup gemilang, bermula dengan mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah dalam Perlawanan Sumbangsih, menewaskan Selangor 3-0 pada Ogos lalu.

Kejayaan itu hanyalah langkah pertama untuk mereka memahat sejarah demi sejarah dalam tempoh setahun ini, di mana JDT mempertahankan gelaran Piala FA buat kali ketiga untuk bergelar juara empat tahun berturut-turut dengan membelasah Sabah 5-1 pada Disember lalu.

Harimau Selatan kemudian bergelar juara liga buat kali ke-12 berturut-turut, bahkan menjulang kejuaraan itu dengan rekod tanpa kalah -- hanya seri sekali dengan Terengganu. Ia satu kejayaan yang turut memastikan kelab itu menyamai rekod dunia perlawanan liga tanpa kalah terpanjang dengan melakukannya dalam rentetan 108 pertemuan.

Mereka menandakan kejayaan itu dengan rekod kemenangan terbesar dalam Liga Super dengan membelasah Kelantan TRW 14-1 pada hari perlawanan terakhir.

Di peringkat Asia pula, JDT menempa satu lagi lembaran baru dalam buku sejarah mereka apabila menjadi pasukan negara pertama layak ke kelompok lapan terbaik Asia menerusi kejayaan ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Mereka tewas kepada pasukan juara bertahan, Al-Ahli, yang kemudian mempertahankan kejuaraan itu dengan menewaskan Machida Zelvia dalam aksi final.

Sama seperti JDT, Kuching City juga memperoleh musim terbaik dalam sejarah mereka, yang harus dinoktahkan dengan sekurang-kurangnya satu gelaran.

Hanya dalam dua musim penuh bersama pengendali 'genius', Aidil Sharin Sahak, mereka sudah mula menjadi ancaman terbesar dalam saingan domestik.

Tiada siapa sangka The Cats, yang menamatkan Liga Super musim 2023 di tangga ke-13 daripada 14 pasukan, kini mampu mengorak langkah ke pentas Asia apabila buat pertama kalinya menamatkan musim ini selaku naib juara.

Mereka hanya mendaftarkan tiga kekalahan dalam saingan liga, selain kejayaan layak ke separuh akhir Piala FA -- juga buat kali pertama -- sebelum disingkirkan JDT pada November lalu.

Justeru, amat manis seandainya mereka dapat menyudahkan musim ini dengan satu lagi gelaran, khususnya dalam kejohanan penutup musim, Piala Malaysia.

Tetapi untuk memulakan satu empayar baru itu, mereka perlu menumbangkan 'raja terakhir', iaitu JDT.

Berdasarkan rekod di atas kertas, Kuching City akan membawa misi hampir mustahil di pentas akhir itu tetapi final Piala Malaysia, secara tradisinya, sentiasa menyajikan magis tersendiri.

JDT atau Kuching City, kedua-duanya sedang mencari penutup musim sempurna tetapi seperti yang dimaklumi, hanya satu pasukan akan keluar dari padang selaku pemenang.

Must Watch Video