SEMUA pihak berwajib dan pemegang taruh sukan negara tiada pilihan selain mengangkat penanda aras lebih tinggi bagi menempuh cabaran 2026.
Rentak tari yang menghadiahkan lebih 200 pingat di Sukan SEA Thailand Disember lalu harus diteruskan selepas tabir 2026 tersingkap, dengan peminat negara dihidangkan aksi badminton Terbuka Malaysia, Sukan Para Asean di Korat, futsal Piala Asia di Indonesia dan penyertaan SRG dan CG Esports di Kejohanan Mobile Legends Bang Bang M7 di Jakarta bermula 3 hingga 25 Januari ini.
Advertisement
Skuad hoki negara kendalian Sarjit Singh pula akan menjalani latihan di Perth, Australia, sebagai persiapan menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia FIH di Ismailia, Mesir pada 1 hingga 7 Mac nanti. The Speedy Tigers diundi dalam Kumpulan B dengan juara empat kali, Pakistan, Austria, China, manakala England, Korea Selatan, Mesir dan Amerika Syarikat dalam Kumpulan A.
Tiga pasukan teratas di Mesir akan layak ke Piala Dunia FIH di Wavre, Belgium dan Amstelveen, Belanda pada 14-30 Ogos nanti.
Sarjit yang pernah mengeluarkan kenyataan mengundur diri andai tidak layak ke Piala Dunia, sudahpun memanggil gandingan pemain baharu dan tonggak lama dalam senarai 30 pemain.
Sendu di Piala Sultan Azlan Shah, the Speedy Tigers tiada opsyen lain kecuali menunjukkan taring mereka jika ingin menempah tempat ke Piala Dunia buat kali ke-10 dalam sejarah penyertaan negara.
Persiapan skuad futsal negara pula tempang tanpa khidmat jurulatih Rakphol Sainetngam, yang kembali berkhidmat di bawah bapa futsal Thailand, Adisak Benjasiriwan.
Mesra dengan panggilan Coach Hamee, Rakphol membawa Harimau Malaya layak ke futsal Piala Asia AFC di Jakarta bermula 27 Januari hingga 7 Februari depan, selain memastikan pingat gangsa di Sukan SEA dan merencana strategi skuad Bawah-19 yang meraih tangga ketiga Kejuaraan Futsal B-19 ASEAN 2025 di Nonthaburi.
Bagi SRG dan CG Esports, M7 yang menawarkan hadiah wang tunai RM4 juta adalah peluang atlet e-sukan negara membuka tabir 2026 dengan nada kegemilangan.
Bagi kelompok pemain badminton negara, mereka sedar kali terakhir kejuaraan Terbuka Malaysia dirangkul oleh Datuk Lee Chong Wei pada 2018, sekali gus menambah tekanan berganda sama ada kepada pasangan beregu campuran yang juga juara dunia Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, selain Pearly Tan-M. Thinaah dan apakah Kenneth Jonassen akan terbabit dalam sebarang rombakan kejurulatihan.
Bagi peminat bola sepak, sama-sama kita doakan agar badan induk dunia FIFA tidak menggantung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) – satu tindakan yang harus menjejaskan industri bola sepak tempatan.
Sebaliknya susulan laporan polis yang dibuat FAM, rakyat memerhati sama ada siasatan terperinci dan telus akan dikendalikan pihak berwajib dalam mencari dalang pemalsuan dokumen yang mengaibkan nama Malaysia.
Yang pasti, terus setia bersama Stadium Astro dan Nadi Arena bagi kemas kini mutakhir sukan negara!