Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek, menyifatkan keputusan undian Piala Thomas dan Piala Uber sebagai seimbang, namun mengingatkan skuad kebangsaan agar tidak memandang mudah cabaran yang bakal menanti.
Menurut juara Piala Thomas 1992 itu, sasaran untuk muncul juara juga boleh menjadi kenyataan, namun setiap pemain perlu mempamerkan prestasi konsisten sejak peringkat awal pertandingan.
Advertisement
Katanya, cabaran sebenar bermula seawal aksi peringkat kumpulan yang menuntut tahap fokus serta disiplin tinggi dalam setiap perlawanan.
“Peluang skuad Piala Thomas untuk mara ke suku akhir memang ada.
“Namun, jangan ambil mudah aksi peringkat kumpulan kerana di situlah keyakinan dan semangat berpasukan dapat diperkukuh sebelum melangkah ke peringkat lebih mencabar.
“Apa yang lebih penting adalah cabaran di peringkat suku akhir dan separuh akhir nanti,” katanya.
DRAW | Thomas Cup Finals 2026
Malaysia set to take on Japan, England and Finland in Group B.
Cheering on our men’s team! 🇲🇾#GemilangkanLagi#BadmintonMalaysia#DemiMalaysia#Horsens2026 pic.twitter.com/nOkdFTbdm9— BAM (@BA_Malaysia) March 18, 2026
Dalam pada itu, Rashid turut menilai peluang skuad wanita negara dalam saingan Piala Uber berada di landasan tepat sekiranya setiap pemain menampilkan peningkatan berperingkat.
“Skuad Piala Uber juga mempunyai peluang untuk mara ke suku akhir. Apa yang penting adalah persembahan langkah demi langkah.
“Jika aksi peringkat kumpulan berada dalam tahap terbaik, mereka akan lebih bersedia untuk berdepan pasukan lebih kuat di peringkat seterusnya,” kata Rashid lagi.
Mengulas lanjut, dia menegaskan kekuatan sesebuah pasukan tidak hanya bergantung kepada pemain utama, sebaliknya turut dipengaruhi oleh keupayaan pasukan mengawal tekanan ketika perlawanan penting.
“Jika pemain berpengalaman tidak dapat diturunkan, pemain muda masih mampu menggalas tanggungjawab kerana mereka sentiasa menyertai kejohanan setiap bulan.
“Daripada situ mereka memperoleh keberanian dan pengalaman, malah dengan sokongan rakan sepasukan, tiada masalah untuk mereka disenaraikan,” kata Rashid ketika ditemu bual wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.