Pengganti legenda bola sepak negara seperti Soh Chin Aun, Santokh Singh, Datuk Arumugam dan Allahyarham Supermokh sebenarnya sedang membesar di padang-padang sekolah rendah dan akademi sukan di seluruh Malaysia.
Mereka mungkin masih memakai jersi sekolah, berlatih di padang becak dan bermain dengan penuh semangat tanpa mengenal penat lelah. Dalam diri mereka, tersimpan impian besar untuk mengharumkan nama negara pada suatu hari nanti. Apa yang mereka perlukan hari ini ialah peluang, sokongan dan sistem pembangunan akar umbi yang lebih kukuh serta tersusun.
Program pembangunan grassroot perlu diperkasakan secara menyeluruh kerana di sinilah asas pembentukan pemain berkualiti bermula. Negara-negara maju dalam bola sepak seperti Jepun, Korea Selatan dan Sepanyol memberi fokus besar kepada pembangunan bakat sejak usia muda sejak dulu lagi. Mereka membina pemain bukan sahaja dari aspek kemahiran teknikal, malah disiplin, mentaliti juara dan kecergasan fizikal sejak di bangku sekolah rendah lagi. Malaysia juga mampu melahirkan pemain bertaraf dunia sekiranya pembangunan akar umbi diberi perhatian secara serius dan konsisten.
Ibu bapa memainkan peranan yang amat besar dalam perjalanan seorang pemain muda. Ramai ibu bapa sanggup menghantar anak ke latihan setiap petang atau malam, berbelanja untuk kasut dan peralatan, malah mengorbankan masa demi memastikan anak mereka dapat mengejar cita-cita dalam sukan bola sepak. Pengorbanan ini wajar dihargai kerana kejayaan seorang atlet tidak datang secara bersendirian, tetapi hasil sokongan keluarga yang sentiasa berada di belakang mereka sejak kecil lagi. Ibu bapa adalah hero yang tak didendang, sedangkan kejayaan atlet pada masa kini hasil pergorbanan dan keringat mak ayah demi kejayaan anak mereka.
Selain itu, sekolah dan komuniti juga perlu menjadi platform utama dalam mencungkil bakat muda. Kejohanan antara sekolah, liga komuniti dan akademi bola sepak perlu diperbanyakkan agar pemain muda mendapat lebih banyak pendedahan kompetitif. Jurulatih pula perlu dilatih dengan pendekatan moden supaya mereka mampu membimbing bakat muda mengikut perkembangan sains sukan dan teknologi latihan terkini. Pemain berbakat tidak boleh dibiarkan tenggelam hanya kerana kurang peluang atau kekurangan sokongan. Pemain juga perlu didedahkan peluang yang ada dalam bidang sukan sekiranya mereka tidak berjaya mewakili negara dalam bolasepak.
Kemudahan sukan yang berkualiti turut menjadi faktor penting dalam pembangunan bola sepak negara. Banyak bakat muda di luar bandar mempunyai potensi besar, namun kekurangan padang yang baik dan fasiliti latihan yang sesuai membataskan perkembangan mereka. Oleh itu, kerajaan, pihak swasta dan persatuan bola sepak perlu bekerjasama membangunkan lebih banyak pusat latihan dan akademi sukan akar umbi di seluruh negara agar setiap kanak-kanak mempunyai peluang yang sama untuk berkembang dan berjaya dalam bidang sukan.
Dalam era moden ini, pembangunan bola sepak juga perlu digabungkan dengan pendidikan dan pembentukan sahsiah. Pemain muda bukan sahaja perlu cemerlang di atas padang, tetapi juga mempunyai disiplin, kepimpinan dan nilai hormat yang tinggi. Legenda seperti Soh Chin Aun, Santokh Singh dan Supermokh dihormati bukan hanya kerana kehebatan permainan mereka, tetapi juga kerana semangat patriotik, tidak mudah mengalah dan keperibadian yang baik. Nilai-nilai inilah yang perlu diterapkan kepada generasi muda hari ini.
Malaysia sebenarnya tidak ketandusan bakat. Apa yang diperlukan ialah kesinambungan pembangunan yang sistematik dan sokongan berterusan daripada semua pihak. Sekiranya program grassroot diperkasakan dengan serius, tidak mustahil suatu hari nanti Malaysia akan kembali menjadi kuasa bola sepak yang digeruni di Asia. Kita perlu percaya bahawa bintang masa depan negara sedang berada di sekolah rendah atau akademi sukan hari ini, menunggu untuk diasah dan diberi peluang menyerlah seperti pemain berbakat Negara iaitu Arif Aiman dan Faisal Halim.
Akhir sekali, masa depan bola sepak negara bergantung kepada tindakan kita hari ini. Jika semua pihak berganding bahu memperkasakan pembangunan akar umbi, menghargai bakat muda dan memberi sokongan kepada keluarga pemain, maka impian untuk melihat lahirnya generasi baharu setaraf legenda negara bukan lagi sesuatu yang mustahil. Dari padang sekolah rendah, akan lahir pejuang-pejuang baharu yang bakal membawa Jalur Gemilang megah di pentas dunia. Semoga 1 hari nanti bendera Malaysia akan berkibar megah dalam Piala Dunia dan mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.