Pemain dan jurulatih datang silih berganti dalam saingan Liga Super, namun hanya segelintir mampu meninggalkan legasi tersendiri yang terus dikenang peminat.
Bagi pemain import, tekanan untuk mencipta impak lebih besar sentiasa mengiringi perjalanan mereka dalam Liga Malaysia, apatah lagi apabila harapan tinggi diletakkan oleh kelab dan penyokong.
Namun, Paulo Josue membuktikan dirinya bukan sekadar pemain import biasa.
Kehadiran Josue bersama skuad Warga Kota pada 2017 bermula dengan peranan sebagai pemain tengah menyerang, sebelum evolusi permainannya dari tahun ke tahun menyaksikan beliau menjadi arkitek utama jentera serangan Kuala Lumpur City FC (KL City).
Keupayaannya menyesuaikan diri dengan corak permainan tempatan membolehkan Josue terus menjadi watak penting The City Boys, tanpa mengira siapa yang berada di bangku kejurulatihan.
Konsistensi yang dipamerkan akhirnya mendapat pengiktirafan apabila beliau diberikan lilitan kapten, sebelum pemain naturalisasi negara itu mengukir sejarah sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah KL City.
Pencapaian tersebut menyaksikan Josue memintas nama-nama besar seperti Fandi Ahmad dan Guilherme de Paula dalam senarai penjaring terbanyak kelab berkenaan.
Kini, Josue memasuki fasa baharu dalam evolusi permainannya apabila diberi tanggungjawab sebagai penggempur utama pasukan.
Peranan itu nyata dinikmatinya apabila Josue menjadi wira KL City dalam aksi pembukaan kemenangan musim ini, selepas menjaringkan gol kemenangan ketika menumbangkan DPMM pada Sabtu.
Daripada seorang pemain tengah menyerang yang hadir pada 2017, Josue kini menjadi antara figura paling sinonim dengan KL City.
Bukan sekadar kapten, bukan sekadar penjaring terbanyak, tetapi seorang pemain yang sudah membina legasi tersendiri dalam sejarah The City Boys.
Dan selagi Josue terus menyarung jersi Warga Kota, kisah evolusinya daripada arkitek serangan kepada penggempur utama pastinya menjadi antara perjalanan paling menarik untuk disaksikan dalam Liga Super.