Ketua jurulatih Melaka, E. Elavarasan, memuji semangat juang serta komitmen yang ditampilkan pasukannya ketika menewaskan PDRM 3-0 dalam aksi minggu ke-16 Liga Super 2025/26 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.
Dia turut menjelaskan kemenangan yang diraih skuad Hang Tuah di laman sendiri itu penting bagi memulihkan semula keyakinan anak buahnya selepas tewas besar 5-0 kepada Penang minggu lalu.
Advertisement
Bekas penolong ketua jurulatih Harimau Malaya itu turut berharap Melaka mampu kekal konsisten dengan corak permainan positif dalam usaha mereka keluar daripada kelompok pasukan bawahan dalam carta liga.
Untuk rekod, kemenangan ke atas 'The Cops' itu merupakan kemenangan sulung Melaka dibawah kendalian Elavarasan sejak dia dilantik selaku ketua jurulatih bermula 10 Januari lalu.
"Penting untuk datang dengan meraih mata, dengan keadaan kami ini perlu melangkah satu per satu, tiga mata ini sangat penting buat pemain juga.
"Sudah lama tidak menang, jika boleh kekalkan keputusan ini memang bagus. Banyak perkara perlu dilihat lagi," katanya.
Sementara itu di kem pelawat, ketua jurulatih PDRM, Eddy Gapil, terpaksa akur dengan kekalahan ke-11 yang dialami pasukannya musim ini.
Meskipun berada dalam situasi yang amat sukar ketika ini, dia kekal menaruh kepercayaan penuh kepada anak buahnya untuk terus berjuang dan bangkit dalam perlawanan seterusnya.
"Jika dilihat kami sering dihukum dengan kesilapan individu, malam ini apa yang saya nasihati mereka jika boleh terus fokus dan jangan hilang penguasaan bola.
"Tetapi tekanan Melaka dalam 10 minit awal dan mereka jaringkan gol dan gol kedua dalam tempoh tiga minit. Saya harap kesilapan begini pemain boleh belajar dengan cepat dan matang." tambahnya.