Ketua jurulatih PDRM, Eddy Gapil, menggesa barisan pemainnya supaya mengetepikan seketika isu tunggakan gaji kelab. sebaliknya fokus untuk hadapi aksi minggu ke-11 liga Super bertemu Sabah di Selayang, malam esok.
Tanpa berselindung, pengendali kelahiran Keningau itu mengakui cabaran utama ketika ini adalah untuk memastikan motivasi dan mentaliti pemainnya untuk berada di tahap terbaik setiap kali sebelum sepak mula perlawanan.
Advertisement
Eddy memuji sikap profesionalisme anak buahnya yang tetap menjalani sesi latihan meskipun bergelut dengan isu kewangan.
Sedar The Rhinos berada dalam momentum terbaik ketika ini terutama selepas mara ke final Piala FA, Eddy tetap menaruh kepercayaan penuh bahawa kemampuan pasukannya untuk mencetak kemenangan kedua dalam kancah liga musim ini.
"Sebenarnya prestasi kami jauh lebih baik dari tahun lepas.
"Saya mengharapkan pemain-pemain kalau boleh lupakan masalah mereka buat sementara -- sepanjang 90 minit.
"Mereka memberikan komitmen tinggi sebagaimana persiapan pada petang ini.
"Sebab itu saya percaya pemain masih bersatu dengan PDRM. Saya harap mereka tampilkan sesuatu yang lebih baik," katanya.
Untuk rekod, kali terakhir Sang Saka Biru mencatat kemenangan ialah ketika mengatasi Kelantan The Real Warriors 3-1 di laman sendiri, September lalu.