Melaka meleburkan kemarau kemenangan Liga Super musim ini apabila menjadikan Negeri Sembilan sebagai mangsa pertama, sebentar tadi.
Tuan rumah mencipta kejutan 2-0 sekalipun Negeri Sembilan hadir di Stadium Hang Jebat dengan misi untuk mendapatkan mata penuh.
Advertisement
Anak buah K. Devan membuka tirai jaringan menerusi Juan Douglas yang bijak menghidu kesilapan penjaga gol, Azri Ghani, seawal minit ke-4.
Douglas terus menjadi duri dalam daging buat pelawat yang dibimbing Nidzam Jamil itu apabila menggandakan jaringan pada 23 minit berselang, hasil hantaran Nasir Basharuddin walaupun pada awalnya disangka ofsaid.
Skuad Jang tampak garang dalam babak kedua dengan beberapa percubaan -- antaranya daripada Luqman Hakim Shamsudin dan Jovan Motika yang terkena tiang.
Namun, corak serangan Negeri Sembilan agak gopoh gopoh ketika mencorak serangan, lantas usaha mengurangkan defisit jaringan tidak berhasil hingga wisel penamat.