Ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL) City, Risto Vidakovic, tetap menganggap DPMM sebagai ancaman jika barisannya mengambil mudah menjelang pertemuan di Cheras, Ahad ini.
Di sebalik isu 'perjuangan tanpa sokongan pihak pengurusan', Vidakovic mengharapkan situasi lebih segar selepas kejayaan pasukan melepasi halangan suku akhir Piala Malaysia minggu lalu.
Advertisement
Tanpa sebarang kecederaan serius melibatkan pemain utama, Vidakovic tidak sesekali menganggap DPMM sebagai lawan mudah.
Rekod tanpa kalah dalam Liga Super sejak 20 Disember lalu yang terus meletakkan KL City sebagai pasukan pilihan untuk lebih mendominasi, apatah lagi aksi pusingan pertama KL City cemerlang menewaskan DPMM 4-0.
Vidakovic enggan terbuai dengan pencapaian semasa dan rekod terdahulu, namun kekal menegaskan ia akan menjadi bencana andai ada sikap ambil mudah dari anak buahnya.
"DPMM membawa masuk ramai muka baru.
"Tiada perlawanan yang mudah buat kami. Setiap perlawanan kami bergelut. Saya langsung tidak menjangkakan ia satu perlawanan yang mudah.
"Kami perlu berjuang, itu sahaja jalan untuk kami mengubah situasi," katanya.
Selain itu, Vidakovic mengharapkan pihak pengurusan memberi lebih tumpuan kepada pasukan selain turut mendedahkan dia bersama pasukan sedang menunggu gaji bulan lalu diselesaikan secepat mungkin.
"Situasi ini pelik.
"Pasukan dalam keadaan baik, mempamerkan aksi menarik dalam beberapa perlawanan hingga mengundang ramai peminat ke stadium.
"Untuk bahagian kami, barisan kejurulatihan dan pemain sudah berikan yang terbaik.
"Mudah-mudahan pengurusan akan bertindak balas," katanya.