Selepas menoktahkan gelaran juara Liga Hoki Malaysia (LHM) 2026, TNB Thunderstar berada di landasan terbaik untuk menamatkan saingan liga musim ini dengan rekod bersih tanpa sebarang kekalahan.
TNB Thunderstar bakal turun berdepan juara treble musim lalu, pasukan Hoki Terengganu (THT), di Stadium Hoki TNB, UNITEN, Putrajaya pada jam 5 petang hari ini.
Dalam perlawanan pembuka tirai LHM, Piala Sumbangsih 2026 menyaksikan anak buah Mohd Madzli Ikmar mencipta kemenangan dramatik apabila menewaskan THT 5-4 di tempat lawan sekali gus menyaksikan TNB mengulangi kejayaan pada edisi 2024.
Untuk rekod, TNB Thunderstar telah merekodkan sembilan kemenangan dan satu kali seri daripada 10 perlawanan setakat ini.
Rekod kemenangan terbesar TNB musim ini adalah ketika mnenewaskan Young Elephants Pahang 16-0.
Bagi perebutan Kasut Emas pula menyaksikan pemain TNB Thunderstar, Muhammad Azrai Aizad Bin Abu Kamal, sedang mengungguli dengan 32 gol, diikuti pencabar terdekat -- pemain berpengalaman negara, Faizal Saari daripada THT dengan merekodkan 26 gol.
Sementara itu THT dan Maybank akan meneruskan perebutan gelaran naib juara yang akan ditentukan pada perlawanan terakhir masing-masing yang akan berlangsung hari ini (Sabtu) dan esok (Ahad).
THT kendalian Mohd Harfizi Baharom semestinya tidak mahu melepaskan peluang menamatkan kempen sekurang-kurangnya sebagai naib juara selepas pencapaian cemerlang musim lalu.
Ayuh saksikan pertarungan epik antara TNB Thunderstar dan THT petang ini! Penuhkan stadium dan berikan sorakan hingga wisel penamat.