Bekas pemain Liverpool dan England, Jamie Carragher, berdepan kemungkinan diisytiharkan muflis selepas pihak berkuasa cukai United Kingdom, HM Revenue and Customs (HMRC), mengambil tindakan berhubung bil cukai tertunggak yang dilaporkan mencecah antara GBP 700,000 (RM3.8 juta).
HMRC dilaporkan memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi London pada Rabu bagi mendapatkan pengisytiharan kebankrapan terhadap personaliti televisyen berusia 48 tahun itu.
Bagaimanapun, wakil Carragher menegaskan perkara berkenaan merupakan isu cukai persendirian dan proses untuk menyelesaikan tunggakan tersebut sedang dilakukan.
“Ini adalah urusan cukai persendirian yang sepatutnya diselesaikan lebih awal, dan langkah sewajarnya sedang diambil hari ini untuk melangsaikannya,” kata wakil Carragher.
Menurut laporan sama, perkara itu dijangka tidak berlarutan dan akan diselesaikan dalam masa terdekat.
Sementara itu, HMRC menjelaskan pihaknya mengambil pendekatan membantu individu yang mempunyai hutang cukai, termasuk menawarkan pelan pembayaran secara ansuran.
Bagaimanapun, tindakan kebankrapan hanya diambil sebagai jalan terakhir terhadap individu yang mempunyai tunggakan.
Carragher kini masih aktif sebagai penganalisis bola sepak, termasuk sebagai pundit Liga Perdana Inggeris bersama Sky Sports serta saingan Liga Juara-Juara bersama rangkaian CBS Sports di Amerika Syarikat.
Dia turut terbabit dalam podcast Stick to Football yang dikendalikan syarikat media Gary Neville, The Overlap.
Carragher menghabiskan keseluruhan karier kelabnya bersama Liverpool dengan membuat 737 penampilan, selain mengumpul 38 kaps untuk England.
Jika tunggakan cukai itu benar-benar diselesaikan seperti dinyatakan wakilnya, prosiding kebankrapan tersebut dijangka tidak akan diteruskan.
Daripada legenda Liverpool kepada isu cukai bernilai ratusan ribu pound -- Carragher kini berdepan salah satu cabaran paling luar biasa di luar padang.