Kuala Lumpur City FC (KL City) memohon supaya aksi Liga Super 2026/27 menentang Negeri Sembilan FC yang dijadualkan berlangsung malam ini ditangguhkan selepas wabak influenza melanda kem pasukan.
Menerusi kenyataan rasmi, KL City memaklumkan seramai 15 individu membabitkan 13 pemain dan dua pegawai pasukan disahkan dijangkiti influenza berdasarkan laporan perubatan.
Kesemua mereka dilaporkan mengalami pelbagai gejala termasuk demam berpanjangan, batuk, sesak nafas serta cirit-birit dan kini menjalani proses kuarantin.
Situasi berkenaan menyebabkan pihak kelab mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengemukakan permohonan rasmi kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menangguhkan perlawanan berkenaan.
Aksi Liga Super itu sepatutnya menemukan Negeri Sembilan FC menentang KL City di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 22 Ogos 2026.
Menurut KL City, permohonan berkenaan dibuat atas faktor keselamatan dan kesihatan pemain serta pegawai, selain mengambil kira risiko penularan wabak kepada pasukan lawan dan penyokong yang hadir ke stadium.
Pihak kelab turut memulakan proses penghantaran notifikasi rasmi berkaitan penularan penyakit berjangkit itu kepada pihak-pihak berkenaan untuk tindakan lanjut.
Perkembangan tersebut hadir ketika KL City sedang membuat persiapan menghadapi musim baharu Liga Super, sekali gus memberi cabaran tambahan kepada pasukan susulan jumlah pemain yang terjejas.
Kelab itu bagaimanapun berharap barisan pemain dan pegawai yang sedang menjalani kuarantin dapat pulih sepenuhnya sebelum kembali menjalani latihan dan menyambung tugasan di atas padang.
KL City turut menyeru penyokong supaya mendoakan kesembuhan segera buat semua pemain dan pegawai yang terjejas akibat wabak berkenaan.
Keputusan mengenai permohonan penangguhan perlawanan kini bergantung kepada pertimbangan dan keputusan MFL.