Permulaan musim Liga Super 2026/2027 bukanlah fasa yang mahu dikenang Kuala Lumpur City FC (KL City) apabila masalah di luar padang menjejaskan perjalanan skuad Warga Kota sehingga kehilangan enam mata.
Situasi itu sekali gus meletakkan anak buah Datuk Dollah Salleh dalam tekanan untuk segera bangkit, terutama apabila mereka bakal melayan kunjungan Brunei DPMM esok.
Menjelang pertemuan itu, aspek mental, karakter dan semangat kekeluargaan dalam bilik persalinan KL City bakal menjadi antara elemen penting untuk memastikan pasukan tidak terus terheret dengan kemelut yang berlaku.
Pertahanan KL City, Kenny Pallraj, mengakui rakan sepasukannya perlu mengetepikan segala gangguan dan kembali memberikan fokus sepenuhnya kepada tugasan di atas padang.
Dalam usaha mencari kemenangan sulung, Kenny turut meletakkan harapan kepada dua rekrut baharu di jentera serangan, Hazwan Bakri dan Syafiq Ahmad.
Pengalaman serta rekod jaringan kedua-dua pemain itu dilihat mampu menjadi pencetus kepada kebangkitan KL City, selain memberikan pilihan lebih banyak di bahagian serangan.
Bagi Kenny, duo berkenaan mempunyai kualiti untuk memberikan impak segera dan membantu Warga Kota keluar daripada tekanan yang sedang membelenggu pasukan.
Sementara itu, satu lagi pasukan yang turut berdepan cabaran besar ialah Star City apabila bakal bertandang ke Iskandar Puteri untuk menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Ketua jurulatih Star City, Mehmed Durakovic, menjangkakan tugas berat menanti anak buahnya berdepan skuad Harimau Selatan yang setakat ini sudah meledakkan 12 gol tanpa bolos.
Namun, bekas pengendali Selangor dan Perak itu memberi jaminan pasukannya akan memberikan segala-galanya bagi cuba menyekat kekuatan JDT.
Cabaran Star City bagaimanapun menjadi lebih sukar apabila Durakovic mengesahkan mereka tidak dapat menggunakan khidmat perancang tengah Harimau Malaya, Endrick dos Santos, selain pertahanan kiri Harith Samsuri yang masih mengalami kecederaan.
"Ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar bertemu JDT dan kami akan melakukan yang terbaik," ujar Durakovic.
Dengan tekanan berbeza yang menghimpit kedua-dua pasukan, aksi hujung minggu ini bukan sekadar soal tiga mata.
Buat KL City, kemenangan ke atas DPMM amat penting untuk mengembalikan keyakinan selepas permulaan musim yang penuh kontroversi, manakala Star City pula perlu menghasilkan persembahan hampir sempurna andai mahu memberi kejutan kepada JDT di Iskandar Puteri.