"Jika kami sambil lewa habislah."
Ketua jurulatih Selangor, Kim Pan-gon, mengakui kesulitan anak buahnya mencari ruang bertemu Kuching City dalam pertemuan Liga Super, malam tadi.
Advertisement
"Kuching City pasukan yang menarik dan mempunyai pemain yang sangat bagus.
"Kami sedar andai bersikap sambil lewa, kami boleh dihukum. Nasib juga menyebelahi kami.
"Kami akan kekalkan mentaliti dan semangat ini untuk berdepan mereka lagi kelak," katanya di Stadium MBPJ malam tadi.
Melihat ia sebagai perlawanan yang sukar, Pan-gon sudah dapat menduga dari awal, keinginan Kuching City untuk menyekat kebebasan barisan hadapan Selangor, lebih-lebih lagi menerusi kelibat Faisal Halimdan Alvin Fortes.
Malah, keadaan itu mendorong Pan-gon mengakui bahawa anak buahnya melewati detik sukar di laman sendiri buat pertama kalinya.
"Ini satu pertemuan yang amat sukar. Kebiasaannya Kuching City gemar menyerang tapi malam ini mereka agak pasif.
"Sukar untuk kami mencipta jaringan dan walaupun memiliki peluang menarik dalam separuh masa pertama, kami tidak manfaatkannya.
"Kami agak bergelut termasuk dengan serangan balas mereka dalam separuh masa kedua.
"Mujur anak buah saya juga mempamerkan keazaman tinggi untuk mencari gol hingga hujung permainan," katanya.