Kejayaan Selangor muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dengan kutipan 101 pingat emas bukan sekadar pencapaian membanggakan, malah menjadi penanda aras baharu yang perlu dipertahankan pada edisi akan datang.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi, mengakui usaha untuk mengekalkan kejuaraan bakal menjadi cabaran lebih besar selepas kontinjen tuan rumah mencipta pencapaian yang begitu tinggi di laman sendiri.
Menurutnya, mempertahankan gelaran juara keseluruhan bukan tugas mudah dan memerlukan perancangan lebih awal, khususnya dalam memastikan kesinambungan prestasi atlet serta pembangunan bakat baharu.
“Nak merangkul juara keseluruhan bukan mudah, lebih sukar mempertahankannya,” katanya.
Justeru, perancangan untuk mempertahankan kejuaraan itu dijangka bermula sebaik sahaja temasya Para SUKMA Selangor 2026 selesai, yang dijadualkan berlangsung dari 5 hingga 10 September ini.
Tempoh tersebut bakal dimanfaatkan untuk menilai keseluruhan prestasi kontinjen, mengenal pasti kekuatan dan kelemahan serta menyusun strategi pembangunan atlet bagi menghadapi edisi SUKMA seterusnya.
Sementara itu, Najwan turut merakamkan penghargaan kepada barisan sukarelawan SUKMA Selangor 2026 yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran penganjuran temasya.
Dia turut menyambut baik hasrat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk membawa pengalaman serta khidmat sukarelawan SUKMA Selangor ke Sukan SEA 2027.
Langkah itu dilihat bukan sahaja sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan sukarelawan sepanjang SUKMA, malah mampu memberi mereka pengalaman mengendalikan temasya sukan bertaraf antarabangsa.
Dengan 101 emas kini menjadi penanda aras baharu, cabaran Selangor selepas ini bukan lagi sekadar memburu kejuaraan.
Persoalannya, mampukah dominasi itu dikekalkan apabila mereka kembali berstatus juara bertahan pada SUKMA akan datang?