Harimau Malaya dijangkakan bakal kehilangan tujuh pemain Malaysia Abroad menjelang perlawanan terakhir Kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Vietnam pada 31 Mac nanti.
Perkara itu susulan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) hanya melonggarkan hukuman penggantungan terhadap tujuh pemain warisan negara yang dibenarkan menjalani aktiviti latihan bersama kelab masing masing sepanjang tempoh penggantungan selama 12 bulan yang dikekalkan.
Advertisement
Hukuman itu membabitkan Facundo Tomas Garces Rattaro, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Gabriel Felipe Arrocha, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Begitupun, skuad kendalian Peter Cklamovski berpotensi diperkuatkan dengan tiga muka baru iaitu pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva, Menuel Hidalgo serta pertahanan Kuala Lumpur City, Giancarlo Gallifuoco, yang semakin hampir memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) iaitu perlu menetap sekurang-kurangnya lima tahun berturut-turut dalam liga yang sama.
Ini susulan, Bergson, 35, yang menyertai JDT pada Februari 2021, tampak sudah melengkapkan syarat naturalisasi selain ketajamannya menarik minat Peter Cklamovski, dengan rekod sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super itu.
Malah, Hidalgo, juga bakal melengkapkan syarat proses naturalisasi pada 4 April depan sejak menyertai pahang pada 2021, selain Giancarlo Gallifuoco yang dikhabarkan bakal menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya dalam masa terdekat.