Pertahanan Ratchaburi, Daniel Ting, menggambarkannya seolah-olah kembali ke pangkuan keluarga sebaik kembali bersama skuad kendalian Peter Clamovski yang kini berada di Bangkok.
Tiada pilihan lain selain daripada kemenangan berulang ke atas Vietnam yang mampu menghadirkan penawar selepas Harimau Malaya menderita luka yang dalam menerusi pemotonagn enam mata dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027.
Advertisement
Dengan apa yang berlaku, Harimau Malaya kini berjuang demi maruah di Nam Dinh, Rabu depan.
Benar tiada apa yang mampu mengubah situasi dan peluang untuk ke Piala Asia, namun kemenangan ke atas Vietnam ibarat menongkat maruah negara yang tercalar betapa Malaysia tidak rebah dengan kekuatan yang tersisa.
Situasi ini diakui pertahanan berdarah warisan negara itu yang menegaskan pilihan yang ada buat ketua jurulatih kebangsaan tersebut hanyalah kemenangan semata-mata.
"Sudah pasti kami ingin memenangi setiap perlawanan, biarpun kami sudah pun tersingkir.
"Namun, perlawanan ini akan menawarkan ranking FIFA jadi ini satu perlawanan yang penting.
"Sudah lama kami tidak berkumpul bersama, (lebih-lebih lagi) kami bakal mengharungi satu lagi kejohanan kelak.
"Setiap pemain bangga untuk menyarung jersi negara dan suasana dalam pasukan positif," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Merujuk kepada kemungkinan posisi yang bakal direncanakan Clamovski, Ting tidak gusar jika dia diberikan tanggungjawab untuk memperkuatkan bahagian tengah pertahanan negara walaupun posisi kebiasaannya adalah di bahagian pertahanan kiri.
"Saya acap kali bertindak sebagai pertahanan tengah pada usia muda, tiada masalah buat saya.
"Di mana sahaja saya diminta beraksi, saya sedia menggalasnya," katanya.
Ting menegaskan dia berada dalam kondisi yang baik bersama Ratchaburi FC dengan mendapat minit permainan yang sempurna sepanjang musim.
"Saya beraksi untuk setiap minit kelab. Saya seronok dengannya.
"Pengalaman pertama bermain dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL2) juga pengalaman menarik," katanya.