Impian Harry Kane untuk meneruskan musim cemerlang bersama Bayern Munich menerima tamparan hebat apabila penyerang England itu disahkan mengalami koyak ligamen sindesmosis pada buku lali kiri.
Kecederaan serius itu dialami ketika Bayern berdepan FC Köln dalam aksi Bundesliga di Allianz Arena, awal pagi tadi.
Pihak perubatan Bayern mengesahkan kecederaan berkenaan selepas menjalankan pemeriksaan terhadap penyerang berusia 33 tahun itu.
Lebih membimbangkan, Kane dijangka terpaksa diketepikan untuk tempoh beberapa bulan, sekali gus memberi tamparan besar kepada perancangan ketua jurulatih, Vincent Kompany.
Laporan Sky Sports pula menjangkakan Kane mungkin perlu berehat sehingga tiga bulan.
Kane mengalami kecederaan selepas terlibat dalam pertembungan dengan pertahanan Köln, Joël Schmied, sebelum cuba meneruskan permainan dalam keadaan kesakitan.
Bagaimanapun, dia akhirnya terpaksa dikeluarkan pada minit ke-20 dan digantikan Tom Bischof.
Insiden itu berlaku ketika Bayern sedang ketinggalan 0-1 sebelum berjaya mengikat kedudukan 1-1 menerusi jaringan Nathaniel Brown.
Ketiadaan Kane pastinya menjadi kehilangan besar buat Bayern, lebih-lebih lagi ketika mereka berdepan jadual padat dalam saingan domestik dan Eropah.
Kane sebelum ini menikmati prestasi cemerlang bersama kelab gergasi Jerman itu, namun kini terpaksa memberi tumpuan kepada proses pemulihan bagi memastikan dia kembali ke tahap terbaik.