Skip to main content

Berbasikal

Jegat ketuai barisan mantap TotalEnergies ke LTdL 2026

KK

Team TotalEnergies Pro Cycling hadir dengan barisan terkuat, sekali gus memperlihatkan kesungguhan mereka untuk mendominasi edisi ke-30 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) yang akan membuka tirai 27 September ini.

Dalam penampilan pertama tahun lalu, Joris Delbove mengungguli jersi individu keseluruhan tetapi menyedari bentuk laluan pendakian yang lebih getir kali ini, pasukan ProTeam dari Perancis itu menyenaraikan enam pelumba yang boleh mendaki dengan baik, diketuai Jordan Jegat yang menduduki tangga ke-10 keseluruhan dalam Tour de France (TdF), Julai lalu.

Selain Jegat, 27, pasukan yang akan disertai pengurus Thibaut Mace itu turut menamakan Geoffrey Bouchard, 34; Alan Jausseume, 28; Mathis La Berre, 25; Nicola Macerou, 23; dan Valentin Retailleau, 26.

Jegat yang direkrut pasukan itu pada 2024 tetapi bakal diikat pasukan WorldTeam Lidl-Trek tahun depan, membuka mata ramai apabila menduduki tangga ke-28 pada TdF 2024; 10 keseluruhan pada TdF 2025, sebelum pelumba kelahiran Bignan, Perancis itu sekali lagi mengulangi pencapaiannya pada TdF tahun ini.

Selain prestasi hebat di jelajah terunggul dunia itu, Jegat turut merekod kemenangan profesional pertamanya di Classic Grand Besancon Doubs tahun ini, tangga ketiga keseluruhan di Tour du Jura dan keempat keseluruhan di Presidential Tour of Turkiye.

TotalEnergies juga boleh mengharapkan kepada Bouchard, bekas pelumba WorldTeam AG2R yang berpengalaman berkayuh lapan kali dalam Grand Tour dan 3 perlumbaan Klasik sehari, dengan pencapaian tertinggi bergelar Raja Bukit di Vuelta a Espana 2019 dan Giro d’Italia 2021.

Pelumba kelahiran Dijon itu yang mengumumkan persaraan pada tahun lalu ekoran kecederaan patah tulang selangka di Tour of Luxembourg tetapi kembali dengan kontrak setahun bersama TotalEnergies, sebelum mengumumkan akan bersara pada penghujung tahun ini.

Selain Jegat dan Bouchard, tugas mengejar kedudukan klasifikasi keseluruhan (GC) juga boleh disandarkan kepada La Berre, bekas pelumba WorldTeam Arkea-Samsic yang berpengalaman dalam empat Grand Tour dan enam Klasik sehari.

La Berre juga mempunyai jadual padat musim 2026 ini dengan pencapaian tempat ketujuh La Roue Torangelle; kelapan Tour du Limousin; ke-61 Paris-Nice, dan ke-76 TdF; selain menyertai perlumbaan klasik Liege-Bastogne-Liege; La Fleche Wallone; dan Amstel Gold.

Jousseaume, Macerou dan Retailleau pula adalah pelumba all-rounder yang mungkin akan dapat disaksikan ketika membantu rentak kayuhan Jegat, Bouchard dan La Berre di peringkat awal pendakian; atau mengemudi peloton untuk mengejar mana-mana cubaan breakaway yang boleh menggugat pelumba terbaik mereka.

Jousseaume (tangga ke-16 LTdL25) dan Macerou (64) pernah membantu Delbove tahun lalu, dan maklumat mengenai bentuk laluan, cuaca dan persaingan di pentas Asia pasti memberi kelebihan kepada pasukan berpangkalan di Vendee, Perancis itu.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, kehadiran TotalEnergies bukanlah sesuatu yang baru dalam senario saingan LTdL kerana pasukan itu telah beberapa kali tampil dengan nama penaja lain sebelum ini seperti Bonjour; Brioches La Boulangere; Bouygues Telecom dan Europcar.

“Sekalipun tanpa juara bertahan Delbove, senarai enam pelumba TotalEnergies kali ini seolah-olah melaungkan hasrat sebenar mereka untuk mempertahankan kejuaraan Delbove tahun lalu, selain gelaran Raja Bukit dan Berpasukan Keseluruhan.

“Kelibat dan percaturan strategi mereka pasti amat dinantikan peminat apabila membabitkan tiga pendakian sukar di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands nanti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

LTdL26 yang berstatus 2.ProSeries akan bermula dengan Peringkat 1 Shah Alam-Kampar pada 27 September ini dan berakhir dengan Peringkat 8 Muar-Putrajaya pada 4 Oktober, membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1,258.5km.

LTdL26 dianjurkan bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM). 

 

Anda mungkin berminat dengan

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Related Topics

Must Watch Video

Advertisement