Skip to main content

MMA

The Iron Man: 3 Senjata Paling Berbahaya Rodtang Untuk Aksi Ulangan Menentang Takeru Di ONE SAMURAI 1

Tiada petarung dalam dunia sukan tempur hari ini yang mampu menggabungkan kemahiran dan keganasan sehebat Rodtang “The Iron Man” Jitmuangnon.

Bekas Juara Dunia Muay Thai Flyweight ONE ini bakal membawa seluruh "persenjataannya" ke ONE Samurai 1 pada Rabu, 29 April, dan peminat sudah tidak sabar untuk melihat kepulangan megabintang Thailand ini ke gelanggang.

Advertisement

Bertempat di Arena Ariake, Tokyo, petarung berusia 28 tahun ini akan mengepalai acara sulung ONE Samurai menentang ikon Jepun, Takeru “Natural Born Krusher” Segawa, dalam pertembungan super-fight lima pusingan merebut gelaran Juara Dunia Kickboxing Flyweight Interim ONE.

Apabila peminat seni bela diri menganalisis kehebatan Rodtang, "dagu besi" miliknya yang legenda sering menjadi sebutan utama. Ketahanan luar biasa itu membolehkannya menyerap asakan paling dahsyat dalam divisyen flyweight, sekali gus membolehkan beliau meredah pelbagai "perang" di pentas global.

Namun, ketahanan itu hanyalah perisai. Ia merupakan asas yang membolehkan “The Iron Man” terus mara dan melepaskan senjata serangan yang memusnahkan. Sebelum beliau bertembung dengan Takeru dalam salah satu aksi ulangan paling dinantikan, mari kita lihat tiga senjata maut yang menjadikan jaguh Thailand ini igauan ngeri buat mana-mana lawan.

#1 Hook Kiri Rodtang Yang Persis Peluru Berpandu

Rodtang hanya memerlukan 80 saat untuk membungkam Arena Super Saitama.

Apabila “The Iron Man” bertemu Takeru Segawa di ONE 172 pada Mac 2025, beliau tidak memerlukan peperangan yang panjang untuk membuktikan kehebatan. Walaupun menggunakan sarung tangan kickboxing yang lebih tebal, hook kiri ikoniknya membawa kuasa pemusnah yang cukup untuk membuatkan megabintang Jepun itu tidak sedarkan diri.

Bahaya sebenar hook kiri Rodtang terletak pada kelicikannya. Ikon berusia 28 tahun ini tidak pernah menunjukkan sebarang isyarat (telegraph) sebelum serangan dilepaskan. Beliau melancarkan tumbukan tersebut dalam lengkok yang padat tanpa sebarang amaran.

Didorong oleh tekanan ke hadapan yang tidak henti-henti, Rodtang mengecilkan jarak, mencipta sudut mikroskopik yang sempurna untuk mendaratkan tumbukan tepat sebelum lawannya sempat menyedari ancaman tersebut.

#2 Tendangan Kaki Yang Melumpuhkan

Keganasan Rodtang dalam gelanggang sering kali membayangi kebijaksanaan (fight IQ) yang dimilikinya. Di sebalik KO yang tular, beliau adalah petarung yang penuh perhitungan dalam "menyiat" lawannya selapis demi selapis. Lawan sering kali terlalu takut dengan ancaman tumbukannya sehingga mereka gagal menyedari kerosakan besar yang terkumpul di bawah pinggang.

Tiada contoh yang lebih baik daripada penampilan sulung kickboxing beliau menentang jagoan Kemboja, Sok Thy, di ONE: Warriors of Light pada 2019.

Dari loceng pertama, Rodtang menyerang bahagian dalam dan luar kaki hadapan Sok Thy dengan ketepatan yang menyakitkan. “The Iron Man” menggunakan tumbukannya untuk memaksa lawan menaikkan pertahanan tinggi sebelum melancarkan rentetan tendangan rendah yang berbisa.

Kesan kemusnahannya adalah mutlak. Selepas beberapa siri jatuhan yang ngeri, pengadil terpaksa menghentikan perlawanan pada minit 1:36 pusingan kedua. Rangka tindakan (blueprint) yang sama akan menjadi senjata berharga apabila beliau berdepan Takeru buat kali kedua.

#3 Tumbukan Ke Hati (Liver Blow) Yang Meranapkan

Walaupun terkenal sebagai pemburu kepala (headhunter), serangan ke arah badan tetap menjadi salah satu senjata paling maut dan sering dipandang rendah dalam simpanan Rodtang. Megabintang Thailand ini merobek bahagian tengah badan lawan, menggunakan hook kiri ke arah hati sebagai instrumen pemusnah utama dalam jarak dekat.

Dua kemenangan kejuaraan dunia beliau ke atas Juara Dunia Kickboxing Bantamweight ONE, Jonathan “The General” Haggerty, menjadi bukti kepada keganasan spesifik ini.

Di ONE: Dawn of Heroes pada 2019, satu tumbukan padu ke badan telah menjatuhkan superstar British itu, sekali gus mengubah momentum dan menobatkan Rodtang sebagai Juara Dunia. Aksi ulangan di ONE: A New Tomorrow pula lebih muktamad; “The Iron Man” menyerang bahagian tengah badan tanpa henti sehingga satu hook kiri ke hati menumbangkan Haggerty pada pusingan ketiga.

Kebijaksanaan Rodtang terletak pada "perangkap" yang dipasangnya. Apabila lawan cuba melindungi kepala daripada tumbukannya yang keras, mereka secara tidak sengaja mendedahkan bahagian rusuk — jemputan yang tidak akan dilepaskan oleh pahlawan berahang besi ini.

Dengan jangkaan Takeru akan masuk ke gelanggang dengan pertahanan tinggi untuk melindungi dagunya, tumbukan ke hati ini mungkin menjadi senjata tepat yang bakal menamatkan perjuangan ikon Jepun itu di ONE Samurai 1.

Must Watch Video